Anda di sini

Curi kipas bapa, lelaki dipenjara empat bulan

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Padah mencuri kipas meja milik bapanya, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Zairiman Zada Shelsada, 29, mengaku bersalah di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi, sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa mencuri sebuah kipas meja milik bapanya, Shelsada Lalzada, 59, pada 22 Jun lalu, jam lebih kurang 6.30 petang bertempat di kediaman mereka di Taman Riverview, Jalan Daya Bintawa, di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, bapa tertuduh (pengadu) melihat tertuduh mencuri dan membawa sebuah kipas meja dengan meletakkannya di dalam sebuah beg hitam, sebelum keluar menaiki motosikal milik pengadu.

Apabila tertuduh balik, dia tidak membawa kipas tersebut bersamanya dan sehubungan itu, pengadu mengesyaki tertuduh telah menjual kipas berkenaan.

Anggaran kerugian adalah sekitar RM50.

Difahamkan, tertuduh sebelum ini juga sering mencuri barang-barang milik pengadu dan ahli keluarga lain untuk membeli barang terlarang dan bermain judi dalam talian.

Oleh itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement