Anda di sini

Ugut nak bakar rumah kakak, penganggur dipenjara

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan ugutan jenayah iaitu mengugut hendak membakar rumah milik kakaknya pada Jun lalu. 

Muzakir Mahidi, 39, mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zaiton Anuar. 

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap kakaknya yang berusia 52 tahun dengan mengugut hendak membakar rumah milik mangsa dalam satu kejadian pada 3 Jun lalu, jam lebih kurang 3 pagi di kediaman mereka di Kampung Tanjong, Petra Jaya, di sini.

Menurut fakta kes, mangsa terbangun dari tidur selepas mendengar bunyi bising dari ruang tamu.

Mangsa kemudian mendapati tertuduh mengamuk sambil memegang pemetik api dan pakaian ditangannya, seperti hendak membakar pakaian tersebut.

Mangsa menjerit dan meminta tertuduh untuk tidak bertindak sedemikian, namun ia menyebabkan tertuduh semakin marah serta mengugut hendak membakar rumah tersebut. 

Perbuatan tertuduh telah mendatangkan ketakutan kepada mangsa, justeru, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

Difahamkan, ini bukan kali pertama tertuduh mengamuk dan dia dikatakan sering meminta duit daripada mangsa serta adik beradik lain.

Sekiranya permintaannya tidak dilayan, tertuduh dikatakan akan mengamuk dan memecahkan barang-barang. 

Difahamkan juga, tertuduh mempunyai rekod lampau membabitkan kes mencederakan orang, kes curi motosikal dan kes dadah.  

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala remaja berkenaan tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement