Anda di sini

Remaja miliki selaras senapang patah dikenakan bon berkelakuan baik

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja lelaki dikenakan bon berkelakuan baik selama tempoh 12 bulan dengan bapa sebagai penjamin oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana kesalahan memiliki selaras senapang patah tanpa lesen.

Majistret Zaiton Anuar menetapkan demikian terhadap remaja tersebut setelah meneliti laporan sosial tertuduh yang disediakan pegawai penasihat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, pengakuan salah dan rayuan, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa memiliki selaras senapang patah tanpa lesen sah pada 26 Jun lalu, jam lebih kurang 10 malam di Tabuan Dayak, di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, pesalah muda itu diberkas polis bersama senjata berkenaan dalam satu operasi pada 5 Julai lalu selepas video dia mengacukan senjata tersebut tular di media sosial.

Difahamkan, punca dia berbuat demikian adalah disebabkan masalah peribadi dengan majikan lamanya iaitu berkaitan hutang pinjaman kenderaan dan lain-lain.

Sehubungan itu, remaja itu didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala pesalah muda tersebut tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement