Anda di sini

Angkara anak jiran, lelaki terkena tempias 'amarah' along

Advertisement
Kereta milik mangsa disimbah cat berwarna merah jambu di bonet dan tayar hadapan.
Kereta milik mangsa disimbah cat berwarna merah jambu di bonet dan tayar hadapan.

KUCHING: Lain orang yang makan nangka lain orang yang kena getah. Begitulah nasib seorang lelaki apabila kereta miliknya disimbah cat oleh along angkara hutang anak jirannya. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Taman Banjaran Serapi, Jalan Sungai Tengah, Matang sekitar jam 5.15 pagi Ahad. 

Jelasnya, mangsa, 52, yang bekerja sebagai pemandu kenderaan di sebuah hospital kerajaan memaklumkan insiden itu disedari semasa isteri mangsa hendak turun kerja, mendapati kereta miliknya yang dipakir di luar pagar hadapan rumahnya telah disimbah cat berwarna merah jambu di bonet hadapan kereta dan tayar kereta.

"Mangsa juga telah menjumpai sehelai kertas yang dilekatkan di pagar rumahnya," katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, Aidil berkata, hasil semakan oleh mangsa sendiri mendapati nama yang ditulis dalam notis tersebut adalah merupakan nama anak kepada jirannya. 

Katanya lagi, tempat kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian. 

Tambahnya, mangsa juga telah dimaklumkan oleh jirannya bahawa anak perempuan mereka telah berhutang dengan along menerusi aplikasi Facebook sebanyak RM300. 

"Hasil semakan lanjut mendapati anak jiran mangsa telah membuat satu laporan polis yang disiasat di bawah Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. 

"Dalam laporan itu menyatakan pada 13 September 2021 jam 11.30 malam semasa anak jiran mangsa berada di rumahnya mendapati cermin rumahnya telah dipecahkan dan juga disimbah dengan cat merah serta pagar rumah telah dikunci. 

"Kejadian dipercayai dilakukan oleh along (peminjam wang tidak berlesen) kerana anak jiran mangsa pernah membuat pinjaman wang dalam talian melalui Facebook sebanyak RM300 namun tidak lagi mampu membuat bayaran kerana along tersebut meminta dia membayar sehingga RM8,600," jelasnya. 

Tegasnya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kes ini.  

  • oleh
  • Advertisement