Anda di sini

Pan Borneo Sarawak dijangka siap tahun depan

Advertisement
 Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya
Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya

“LPB Sarawak akan membawa banyak perubahan kepada negeri tidak hanya dalam konteks perkembangan fizikal tetapi juga dalam meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat. Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi khususnya pusat-pusat komersial dan perindustrian di sepanjang jajaran LPB Sarawak.”

Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan kemajuan kerja projek kini mencapai tahap 71 peratus.

Dimulakan pada Oktober 2015, projek bernilai RM16.117 bilion itu meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 kilometer (km) dari Telok Melano ke Miri. Projek mega itu dijadualkan siap pada penghujung tahun 2022 meskipun terdapat pelbagai halangan termasuk perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan penangguhan projek.

Buat masa ini, projek itu mengguna pakai kaedah konvensional dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang bertindak sebagai badan penyelia.

Projek berjalan seperti yang dirancangkan

LPB Sarawak menunjukkan kejayaan memberangsangkan dengan siapnya pakej kerja pertamanya iaitu jajaran Telok Melano-Sematan sepanjang 32.77 km pada bulan Januari 2019.

Pakej kerja ini dimulakan pada 15 September 2019 dan mengambil masa 39 bulan untuk siap serta merupakan pakej kerja paling singkat dalam kesemua pakej kerja LPB Sarawak.

Sebanyak 10 pakej lain meliputi jajaran Sematan ke Miri kini dalam proses pembinaan dengan kemajuan kerja mencapai 71 peratus.

Pada masa sama, kerajaan juga komited untuk memastikan peruntukan secukupnya dibuat bagi LPB memandangkan ia adalah projek infrastruktur berstatus mega dalam negara.

Bagi tujuan ini, pihak Kementerian Kerja Raya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memastikan kapasiti rantaian bekalan berkaitan dapat ditingkatkan.

SOP terkini di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan kapasiti 100 peratus bagi kerja-kerja pembinaan selaras dengan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520) dan perkhidmatan profesional berkaitan industri pembinaan.

 Dato’ Sri Fadillah Yusof turun padang untuk meninjau keadaan di tapak LPB, baru-baru ini.
PERKEMBANGAN TERKINI: Dato’ Sri Fadillah Yusof turun padang untuk meninjau keadaan di tapak LPB, baru-baru ini.

Kekangan dan cabaran pelaksanaan LPB

Kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan, jentera terhad dan kenaikan harga bahan binaan ekoran pandemik COVID-19 telah menyebabkan pelaksanaan LPB Sarawak terganggu sebelum ini.

Impak penularan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek serta kenaikan kos bahan binaan.

Ia juga memberi kesan kepada isu tenaga pekerja yang semakin berkurangan susulan hanya 60 peratus pekerja dibenarkan di tapak pembinaan pada Fasa 1 PPN serta 80 peratus untuk Fasa 2 dan Fasa 3 PPN.

Pada masa sama, pihak pemaju projek juga berdepan kesukaran mendapatkan pekerja ketika pandemik.

Di samping itu, mereka juga berdepan cabaran pematuhan SOP PKP yang berbeza di lokaliti setiap bahagian di Sarawak yang dirangka khusus berdasarkan status terkini penularan wabak di setiap kawasan.

Namun begitu, keadaan semakin berubah apabila Sarawak telah beralih kepada Fasa 2 dan 3 PPN sekali gus menunjukkan peningkatan terhadap prestasi pelaksanaan projek.

 Pemandangan dari udara Jambatan Batang Rajang yang merupakan projek lebuh raya Pakej Kerja 07. – Gambar JKR Sarawak
KEMUDAHAN RAKYAT: Pemandangan dari udara Jambatan Batang Rajang yang merupakan projek lebuh raya Pakej Kerja 07. – Gambar JKR Sarawak

Jaminan kesinambungan LPB Sarawak

Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya terus komited untuk memastikan projek LPB Sarawak ini akan terus dijalankan walaupun terdapat kekangan dan halangan akibat daripada pandemik yang melanda negara.

Ini termasuk menerusi pelaksanaan pelan mitigasi, penetapan semula jadual pelaksanaan dan pembukaan semula sektor pembekalan dan bahan binaan secara berperingkat.

Pelaksanaan pelan mitigasi oleh kontraktor pakej kerja dibuat dengan penyeliaan rapat daripada JKR Sarawak dengan dibantu Perunding Pengurusan Projek (PMC).

Kementerian Kerja Raya juga mengambil langkah proaktif untuk memantau prestasi secara berterusan dengan melawat kawasan dan mendapatkan maklumbalas terkini mengenai projek LPB tersebut. Ini adalah untuk memastikan bahawa rancangan mitigasi pemulihan ekonomi untuk pelaksanaan Projek LPB Sarawak berkesan dan berimpak tinggi.

LPB bawa perubahan baharu kepada masyarakat Sarawak

LPB akan mengubah panorama kawasan di sepanjang jajaran pembangunan sekali gus memperkasakan pergerakan selain pada masa sama memacu sektor ekonomi dengan menyediakan lokasi untuk pembangunan pusat komersial, kilang-kilang dan destinasi tarikan pelancong.

Tambahan pula, LPB akan terus menjadi infrastruktur tanpa tol bagi meringankan beban rakyat.

Selain membuka jalan kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pembinaan, projek lebuh raya itu juga secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat di Sarawak.

Ia juga mampu mencipta peluang pekerjaan baharu dan bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan serantau Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dalam mencapai status negeri membangun menjelang tahun 2030.

  • oleh
  • Advertisement