Anda di sini

Rangka dasar, strategi kawal COVID-19 apabila sekolah dibuka kelak

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Sarawak disarankan mengambil inisiatif untuk merangka dasar dan strategi bagi mengawal serta mencegah jangkitan COVID-19 di sekolah agar dapat melindungi para pelajar apabila sekolah dibuka kembali bulan depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang See Chee How (gambar) berkata Sarawak merupakan negeri yang luas, justeru, kelaziman varian Delta yang menular di negeri ini mengharuskan untuk melakukan usaha komunal dan bersepadu bagi menjaga keselamatan para pelajar.

“Kita harus proaktif. Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan negeri dan Jawatankuasa Penguruan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk mengadakan dialog bersama semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam pengurusan dan pengendalian sekolah, termasuklah lembaga pengurusan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Kesatuan Guru, pengetua sekolah, guru, ibu bapa dan lain-lain.

“Ia bertujuan membentuk Pasukan Sokongan Sekolah masing-masing untuk melaksanakan langkah-langkah perlindungan kesihatan dan kawalan jangkitan yang diperlukan di semua sekolah di seluruh Sarawak,” ujarnya menerusi kenyataan semalam.

Kerajaan persekutuan katanya, harus sedar kerajaan Sarawak, JPBNS, pihak berkuasa tempatan dan agensi serta sekolah-sekolah mempunyai peranan penting untuk dimainkan di negeri yang luas ini.

Oleh itu katanya, pihak tersebut harus dirujuk ketika merangka kerangka kerja dan memantau strategi yang efektif untuk pengendalian dan pencegahan jangkitan COVID-19 di sekolah.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sememangnya boleh menyenaraikan dasar kebangsaan dan tatacara pemerintahan negara. 

“Namun, kuasa membuat keputusan harus diserahkan kepada Sarawak untuk memenuhi keperluan bagi tindak balas setempat,” tambahnya.

Sarawak kata See, mesti diberi autonomi dan fleksibiliti untuk membuat keputusan yang cepat serta responsif agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Sebagai contoh, sekolah-sekolah di kawasan tertentu mungkin perlu ditutup untuk melindungi keselamatan dan kesihatan para pelajar sekiranya terdapat peningkatan penularan virus atau terdapat penyebaran penyakit berkaitan COVID-19 atau kemasukan ke hospital di kawasan berkenaan,” jelasnya.  

Sehubungan itu, beliau menyarankan KKM untuk merujuk dan melaksanakan daftar periksa yang dirancang oleh pasukan promosi Jabatan Kesihatan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), sebagai panduan untuk merangka kerangka kerja bagi sekolah yang bakal dibuka semula di Malaysia.

Senarai semak diselaraskan dan adalah berdasarkan panduan WHO berkaitan COVID-19 serta disusun berdasarkan langkah-langkah perlindungan berkaitan dengan: 1) etika kebersihan tangan dan pernafasan; 2) penjarakan fizikal; 3) penggunaan pelitup mula di sekolah; 4) pembersihan dan pengudaraan persekitaran; dan 5) menghormati prosedur pengasingan bagi semua individu yang bergejala.

Advertisement