Anda di sini

Banglo dijadikan pusat judi dalam talian diserbu

Advertisement
Pegawai polis menjalankan siasatan di lokasi serbuan
Pegawai polis menjalankan siasatan di lokasi serbuan. - Gambar ihsan polis

KUCHING: Sebuah rumah banglo dijadikan pusat operasi dan pengurusan sindiket judi dalam talian diserbu dan sembilan individu dipercayai operator diberkas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan dilakukan ke atas rumah banglo setingkat tersebut di Taman Stutong Indah pada jam 12 tengah hari.

Menurutnya, sembilan individu yang ditangkap merupakan lima warga asing dan empat warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 31 tahun.

"Siasatan awal mengesyaki premis tersebut sudah beroperasi sejak enam bulan lepas dan berdasarkan rekod transaksi, dipercayai jumlah keuntungan kasar sindiket ini adalah sebanyak RM2,000 sehari dan boleh mencecah RM60,000 sebulan.

"Manakala sembilan suspek yang ditangkap dipercayai bekerja sebagai operator pengendalian perjudian dalam talian dengan gaji RM1,500 sebulan dan ada bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya juga, semua suspek juga berperanan mempromosikan kegiatan perjudian tersebut melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp, telegram, WeChat, Skype dan Facebook.

Selain itu, pasukan serbuan turut merampas beberapa unit komputer termasuk peralatan internet dan telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam kegiatan perjudian tersebut.

"Pihak kita sedang berusaha mengenal pasti pemilik rumah tersebut dan dalang sindiket ini.

"Justeru orang ramai yang mempunyi maklumat, diminta untuk tampil membantu siasatan," katanya.

Kertas siasatan di buka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Manakala kesemua suspek warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63.

  • oleh
  • Advertisement