Anda di sini

Pemandu, jengkaut tertimbus di kuari

Advertisement
Kerja-kerja pembersihan tapak untuk ke lokasi pemandu beserta jentera berat yang tertimbus ditangguhkan akibat hujan lebat.
Kerja-kerja pembersihan tapak untuk ke lokasi pemandu beserta jentera berat yang tertimbus ditangguhkan akibat hujan lebat.

KUCHING: Seorang pemandu jentera berat dilaporkan tertimbus bersama jengkaut di sebuah kawasan kuari di Jalan Tanjung Durian, Kampung Tanjung Durian, Bau hari ini. 

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 3.18 petang. 

"Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak terima panggilan daripada MERS 999 mengenai kes di alamat berkenaan dan telah menggerakkan keluaran jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi.

"Maklumat awal daripada pemanggil mengatakan kuari tersebut telah roboh dan menimbus sebuah jengkaut beserta pemandu," katanya dalam kenyataan hari ini.

KEMAS KINI BERMULA DI SINI

Jurucakap bomba memberitahu, mangsa yang dilaporkan tertimbus dikenali sebagai Anthony Kanna, 48 tahun, masih belum dijumpai setakat ini. 

Mengulas lanjut kejadian itu, jengkaut terbabit yang dikatakan membuat kerja-kerja meratakan tapak batu telah tertimbus disebabkan runtuhan batu di kuari tersebut. 

"Terdapat seorang mangsa (operator) bersama jentera telah tertimbus dihempap batu yang dianggarkan sebesar 20 meter," katanya. 

Tambahnya, aktiviti mengebom bagi memecahkan batuan di kawasan kuari dilakukan sebuah syarikat kuari pada sebelah pagi menyebabkan struktur batu tidak stabil dan telah runtuh.

Katanya lagi, pada masa ini terdapat empat jengkaut dan juga jentolak milik syarikat berkenaan sedang membuat kerja-kerja pembersihan di tapak untuk ke lokasi jengkaut yang tertimbus yang dianggarkan 50 meter dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

"Pihak bomba hanya membuat pemantauan keselamatan di lokasi bagi memastikan keselamatan dari runtuhan susulan ketika kerja-kerja menyelamatkan mangsa dilakukan," ujarnya. 

Bagaimanapun, jelasnya, komander operasi melaporkan kerja-kerja pembersihan tapak ditangguhkan serta merta pada jam 4.45 petang susulan hujan lebat di lokasi dan juga atas faktor keselamatan. 

  • oleh
  • Advertisement