Anda di sini

10 lagi lokaliti di Sabah mula PKPD esok

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Sebanyak 10 lokaliti di negeri ini akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatakan (PKPD) bermula esok sehingga 9 September depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, tiga lokaliti di Telupid termasuk Kampung Gading, Ulu Sapi dan Ladang Melia, manakala dua lokaliti di Penampang adalah Beverly Hills Fasa 5 dan Kampung Nambazan.

Menurutnya, dua lokaliti di Ranau melibatkan Kampung Lohan Ulu dan Libang serta Rancangan Batu 22 Apas Tawau, Kampung Landung Ayang Kudat, dan Kampung Pengalat Kecil Papar.

Katanya, sebanyak lapan lokaliti dilanjutkan PKPD bermula esok termasuk enam di Tuaran iaitu Kampung Betutai, Bontoi, Kindu, Serusop, Taman Sri Rugading, dan Taman Telipok Ria.

"Dua lagi lokaliti di Tawau turut dilanjutkan PKPD iaitu Kampung Bergosong Pulau Sebatik dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas Batu 8.

"Setakat 25 Ogos lepas, sebanyak 123 lokaliti di seluruh Sabah menjalani PKPD dengan Tawau merekodkan jumlah PKPD tertinggi iaitu sebanyak 34 lokaliti," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, sebanyak 12 lokaliti ditamatkan PKPD sejak semalam termasuk tiga lokaliti di Tuaran iaitu Kampung Bolong Baru, Sungai Damit dan Simpangan.

Menurutnya, dua lokaliti yang ditamatkan PKPD di Kinabatangan iaitu Ladang Bukit Mas dan Ladang Linbar 1, manakala dua lokaliti di Perumahan Ladang di Beluran iaitu Perumahan Ladang Reka Halus dan Ladang Boustead Trunkline.

Masidi berkata, lokaliti lain yang turut ditamatkan adalah Kampung Lahat-Lahat Pulau Sebatik, Kampung Kongsi 8 Tawau, Kampung Kayu Madang Telipok, Kampung Batition Kota Marudu, dan Kampung Sunsuron Tambunan.

Dalam pada itu jelasnya, sebanyak 21 kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dikeluarkan seluruh Sabah semalam.

"Sebanyak lapan kompaun gagal mendaftar masuk premis, sembilan kompaun tidak memakai pelitup muka, tiga kesalahan tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan, dan satu kompaun membawa penumpang berlebihan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement