Anda di sini

Lebih 90 peratus guru di Tawau sudah terima vaksin COVID-19

Advertisement
 Zamri (tengah) menyampaikan sumbangan tersebut kepada salah seorang guru besar sekolah untuk diagihkan kepada pelajar yang terlibat dalam kebakaran.
SUMBANGAN: Zamri (tengah) menyampaikan sumbangan tersebut kepada salah seorang guru besar sekolah untuk diagihkan kepada pelajar yang terlibat dalam kebakaran.

TAWAU: Lebih 90 peratus warga pendidik di daerah ini sudah lengkap menerima vaksin COVID-19 dan bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

Pegawai Pendidikan Tawau, Zamri Pehakan berkata hampir semua guru sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 seperti yang diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Difahamkan sebilangan kecil guru yang belum menerima vaksin disebabkan mempunyai masalah kesihatan dan terpaksa menangguhkannya sementara.

“Saya yakin semua guru yang ada di negeri ini akan menerima vaksin kerana mereka mesti melindungi diri dan pelajar di sekolah tempat mereka mengajar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam majlis penyerahan bantuan kepada pelajar dan warga pendidikan yang terlibat dalam kebakaran di kampung Titingan bulan lalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata KPM juga sudah mengumumkan agar semua pelajar yang dibenarkan turun ke sekolah terutamanya tingkatan 5 dan 6 akan mengambil vaksin terlebih dahulu.

“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau juga sudah membuat perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan vaksin kepada pelajar.

“Kita sedang menunggu jadual pemberian vaksin untuk pelajar  daripada KKM dan PPD Tawau akan memberikan kerjasama sekiranya diperlukan,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan tersebut, katanya, seramai 62 pelajar, dua guru dan dua orang anggota kumpulan pelaksana terlibat dalam kebakaran tersebut.

“PPD Tawau telah mengambil inisiatif untuk mengumpul sumbangan daripada warga sekolah di seluruh daerah ini bagi meringankan beban mereka yang terlibat.

“Kita berjaya mengumpulkan sebanyak lebih RM26,000 dan sumbangan itu akan disampaikan melalui sekolah masing-masing,” katanya.

Zamri berkata, PPD Tawau menzahirkan terima kasih kepada semua penyumbang di setiap sekolah sehingga dapat mengumpulkan sumbangan itu untuk mangsa kebakaran terutamanya pelajar.

“Saya berharap semoga sumbangan itu dapat meringankan sedikit bebanan yang mereka tanggung dan tetap tabah menghadapi ujian,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement