Anda di sini

Jadikan semangat kemerdekaan asas perangi pandemik COVID-19

Advertisement
 Harun (dua kanan), Arnold (tiga kanan) mengibarkan jalur gemilang semasa majlis itu berlangsung.
JALUR GEMILANG: Harun (dua kanan), Arnold (tiga kanan) mengibarkan jalur gemilang semasa majlis itu berlangsung.

TAWAU: Masyarakat diminta untuk menjadikan semangat kemerdekaan yang disambut bulan ini sebagai asas dalam memerangi pandemik COVID-19 di negeri Sabah.

Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa berkata pihaknya yakin dengan menghayati semangat kemerdekaan, mampu menjadi platform untuk negara keluar daripada masalah pandemik ini.

“Walaupun semua pihak teruja untuk menyemarakkan hari kemerdekaan tahun ini, tetapi jangan lupa kita masih belum menang untuk melawan wabak COVID-19.

“Kita mampu melawan wabak ini sekiranya semua masyarakat berkerjasama dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan jalur gemilang kepada jabatan dan agensi kerajaan di daerah Tawau, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Penerangan Malaysia yang merupakan jawatankuasa promosi dan publisiti terus memainkan peranan untuk memberikan kesedaran dalam memperingati hari kemerdekaan.

“Walaupun sambutannya tidak semeriah tahun sebelumnya tetapi kami komited untuk melaksanakan aktiviti agihan bendera kepada orang ramai supaya hari kemerdekaan tidak dilupakan.

“Kami berharap agar rakyat Malaysia khususnya di Tawau terus menyemarakkan semangat kemerdekaan dan menyokong sambutan tahun ini,” katanya.

 Harun (tengah) menyerahkan jalur gemilang kepada Arnold sebagai simbolik penyerahan kepada jabatan dan agensi di Tawau.
SIMBOLIK: Harun (tengah) menyerahkan jalur gemilang kepada Arnold sebagai simbolik penyerahan kepada jabatan dan agensi di Tawau.

Menurutnya, semua pihak harus mengibarkan bendera di kawasan mereka termasuklah premis, kedai dan kediaman masing-masing sebagai lambang kecintaan kepada negara.

Harun berkata, pada tahun ini Jabatan Penerangan Malaysia hanya mengadakan sambutan melalui media massa dan secara maya sahaja.

“Bagaimanapun, kami terus berusaha menarik sokongan masyarakat agar sambutan hari kemerdekaan terus terpelihara dan kekal sampai bila-bila,” katanya.

Terdahulu, seramai 120 orang kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Sabah dan 30 buah kenderaan digerakkan dalam mempromosikan hari kemerdekaan di seluruh negeri.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Arnold Joibi berkata, sambutan hari kemerdekaan merupakan satu pembakar semangat dalam kecintaan seluruh rakyat kepada negara.

“Jangan jadikan pandemik COVID-19 yang melanda negara sebagai alasan untuk kita tidak mengenang jasa dan pengorbanan pejuang negara serta hilangnya semangat patriotisme.

“Saya menyeru kepada semua penduduk di daerah ini khususnya peniaga untuk mengibarkan jalur gemilang sebagai tanda kita menghargai nikmat kemerdekaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement