Anda di sini

Bertahan demi Rojak Kucei

Advertisement
 

BUKAN sekadar berniaga untuk mendapat untung, tetapi lebih jauh di sudut hati Rashid Khan adalah untuk mengekalkan resepi warisan datuknya – Rojak Kucei – yang memang terkenal dalam kalangan warga bandar raya Kuching dan pelancong.

Rashid menceritakan resepi rojak ayam ini dibawa datuknya, Abdul Rahman Mansor, dari India, kemudian ia diperturunkan ke bapanya, Kucei.

Rasa rojak ayam disediakan di kedai yang wujud sejak 1977 ini, memang tidak pernah berubah, ujarnya.

Demi membolehkan pelanggan terdiri daripada pelbagai generasi, beliau menanam tekad untuk sedaya upaya meneruskan perniagaan warisan ini.

“Saya cuba bertahan dengan apa yang ada sekarang contohnya harga semua barang naik – ayam, timun, kacang panjang, keribang (keledek) – semua dah naik harga tak macam dahulu. Naik dua kali ganda harga.

“Tetapi kami terpaksa bertahan dan harga rojak pun kami tak naikkan. Saya berusaha kekalkan harga,” ujarnya ketika ditemui di Kedai Rojak Kucei di Batu Lintang, Kuching baru-baru ini.

Malah, perolehan jualan kurang kira-kira 60 peratus sepanjang COVID-19.

Mengenai perancangan untuk mewariskan perniagaan ini, beliau berkata seorang anak lelakinya kini membantunya berniaga. Ini adalah untuk memastikan rojak ayam ini terus kekal dikenali dan dinikmati penduduk bandar raya ini.

“Sebab perlu ada waris resepi keluarga ini, jadi saya perlu latih dia untuk mewarisi apa yang ada sekarang. Jika dia tak warisi, resepi ini tidak dapat diperturunkan kepada generasi seterusnya,” jelasnya.

Begitu juga dahulu, Rashid belajar menyediakan rojak ayam dan berniaga agar ia dapat dipertahankan.

Selain rojak ayam, Kedai Rojak Kucei turut menyediakan rojak mi dan nasi beriani. Bagaimanapun, nasi beriani cuma boleh didapati pada Sabtu.

Mula memasak mulai pukul 4:30 pagi, sudah menjadi rutin bagi Rashid dan pekerjanya dan seterusnya membuka kedai pada pukul 7:00 pagi.

“Kerja-kerja penyediaan memang rumit sebab membabitkan banyak bahan. Susah saya nak sebut satu persatu bahan-bahan yang digunakan, terlalu banyak,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement