Anda di sini

Segerakan PKPD bukan tunggu selepas dua hari

Advertisement
CHIN
CHIN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri perlu segera melaksanakan 'lockdown' selepas mengumumkan lokaliti-lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Shu Ying mencadangkan usaha itu wajar dipertimbangkan berbanding hanya melaksanakan PKPD selepas dua hari pengumuman untuk PKPD lokaliti berkenaan.

"Ini bagi membolehkan mereka yang dijangkiti dalam kawasan berkenaan tidak berpeluang untuk melarikan diri seterusnya menyebarkan COVID-19 di lokaliti lain.

"Sangat membimbangkan apabila kes harian di Sabah meningkat dari 200 kepada 1,000 hanya dalam beberapa minggu sahaja.

"Walaupun Sabah melakukan PKPD tertinggi di Malaysia, tetapi jangkitan COVID-19 terus meningkat," katanya dalam satu kenyataan di sini selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan LDP Sulaman secara maya, semalam.

Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan bahawa PKPD di Sabah tidak berkesan disebabkan kerajaan memberikan penduduk di kawasan berkenaan dua hari persediaan untuk menghadapi PKPD seterusnya membolehkan mereka melarikan diri.

"Apabila tiba masa pelaksanaan PKPD, sudah ramai penduduk berpindah keluar untuk mengelakkan daripada 'lockdown'.

"Mereka yang melarikan diri adalah potensi sebagai pembawa virus, mereka boleh menularkan COVID-19 di lokaliti lain seterusnya mencetuskan kluster baharu," katanya.

Chin berkata, beliau bukanlah inginkan lockdown atau PKPD di Sabah kerana ia mampu menjejaskan ekonomi.

Katanya, Sabah kini telah kehilangan punca pendapatan kedua terbesar iaitu sektor pelancongan dan kini tidak lagi mampu menutup sektor ekonomi kerana ia boleh menyebabkan pengangguran.
 

  • oleh
  • Advertisement