Anda di sini

Ingkar arahan kuarantin, lelaki positif COVID-19 dikompaun 

Advertisement
 Lelaki positif COVID-19 dikenakan kompaun akibat ingkar arahan kuarantin.
KOMPAUN: Lelaki positif COVID-19 dikenakan kompaun akibat ingkar arahan kuarantin.

SIPITANG: Akibat ingkar arahan kuarantin, seorang lelaki yang disahkan positif COVID-19 dikenakan kompaun.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, polis mengesan tindakan lelaki terbabit yang ingkar arahan kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Guruh Guruh di sini semalam.

Katanya, lelaki berkenaan sepatutnya menjalani arahan kuarantin selepas disahkan positif COVID-19 hasil ujian calitan yang dijalankan terhadapnya.

Menurutnya, kedegilan individu yang dikuarantin memaksa pihaknya mengambil tindakan tegas sebagai usaha mengurangkan potensi penyebaran pandemik COVID-19 dalam kalangan masyarakat khususnya di daerah ini.

Beliau  berkata, mereka yang gagal mematuhi arahan kuarantin boleh menyebabkan penularan wabak dengan cepat dan pihak polis tiada pilihan selain mengenakan kompaun.

"Kompaun yang dikeluarkan mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

"Kami merayu dan menasihatkan kepada semua warga Sipitang supaya lebih bertanggungjawab kepada keselamatan kesihatan masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini.

Champin berkata, individu yang diarahkan menjalani kuarantin perlu patuh pada arahan yang diberikan bagi mengelakkan penyebaran wabak penyakit berjangkit.

Katanya, perbuatan dan tindakan golongan yang ingkar arahan boleh menyebabkan sesiapa saja kehilangan ahli keluarga terutama golongan yang berisiko.
 

  • oleh
  • Advertisement