Anda di sini

108 keping saman dikeluarkan dalam Op Motosikal di Tawau

Advertisement
 Joan bersama anggota yang terlibat membuat pemeriksaan dalam operasi tersebut.
OPERASI: Joan bersama anggota yang terlibat membuat pemeriksaan dalam operasi tersebut.

TAWAU: Unit cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengeluarkan sebanyak 108 keping saman menerusi Op Motosikal, di Batu 2 Jalan Apas, di sini kelmarin.

Operasi yang dilaksanakan kira-kira jam 3 petang sehingga 7 malam itu melibatkan seorang pegawai, enam anggota trafik dan empat polis sukarelawan.

Pegawai Penyiasat Kanan Trafik IPD Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee berkata sebanyak 160 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi itu dijalankan.

“Sebanyak 108 keping saman telah dikeluarkan termasuk 44 individu dihadap ke mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 90 Akta yang sama.

“Seramai 30 pemilik kenderaan turut disaman kerana membenarkan individu menggunakan kenderaan mereka tanpa lesen memandu yang sah,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu juga, pihaknya telah menyita sebanyak lapan buah motosikal kerana mendapati penunggangnya tidak memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, operasi itu memang memberi fokus dan tumpuan dalam mengesan pemandu atau penunggang yang tidak memiliki lesen memandu serta mengubah suai struktur kenderaan.

“Polis memandang serius terhadap kesalahan itu kerana banyak berlakunya kes kemalangan dalam kalangan mereka yang tidak memiliki lesen memandu.

“Ramai juga pemilik motosikal disaman kerana telah mengubah suai ekzos serta penutup rantai motosikal mereka di daerah ini,” katanya  

Joan berkata Op Motosikal itu juga merupakan operasi rutin yang diadakan setiap minggu bagi mengesan kesalahan-kesalahan trafik yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

“Saya mengingatkan kepada semua masyarakat Tawau yang mahu memandu atau menunggang di atas jalan raya perlu mendapatkan lesen memandu terlebih dahulu.

“Selain itu, jadilah pemandu yang berhemah dan ikutlah semua peraturan yang telah ditetapkan semasa berada di jalan raya bagi mengelak kemalangan berlaku,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 771 kes kemalangan berlaku di daerah Tawau yang melibatkan 17 kes kemalangan maut dan telah meragut 18 nyawa sepanjang Januari hingga Julai 2021.

  • oleh
  • Advertisement