Anda di sini

Seramai 131 ahli Persatuan Teo Chew Tawau terima bantuan bakul makanan

Advertisement
 Pua (kiri) bersama Peter menyampaikan bantuan tersebut kepada penerima secara pandu lalu.
PANDU LALU: Pua (kiri) bersama Peter menyampaikan bantuan tersebut kepada penerima secara pandu lalu.

TAWAU: Seramai 131 ahli Persatuan Teo Chew Tawau menerima bakul makanan daripada persatuan itu yang diadakan secara pandu lalu di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi I Persatuan Teo Chew Tawau, Pua Piak Chun berkata bantuan itu merupakan inisiatif pihaknya dalam membantu ahlinya yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Pihak persatuan faham situasi sekarang memang sangat susah dan ramai ahli kami yang mengalami kemerosotan sumber ekonomi.

“Kami juga mendapat maklum balas daripada mereka yang terjejas dan meminta pihak persatuan melakukan sesuatu untuk membantu ahli yang susah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan bakul makanan tersebut di hadapan pejabat persatuan itu di Kubota Sentral, di sini hari ini.

Menurutnya, program bantuan itu juga dilakukan sebagai tanda keprihatinan dan komitmen persatuan dalam menjaga kebajikan setiap ahlinya yang mengalami kesusahan.

“Pihak persatuan berharap dengan adanya bantuan bakul makanan itu dapat meringankan bebanan yang ditanggung ahlinya yang terbeban ketika ini.

“Kami juga mengalu-alukan individu atau usahawan yang mempunyai kelebihan terutamanya dikalangan ahli persatuan untuk tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Pua juga merakamkan terima kasih kepada ahli jawatankuasa persatuan kerana memberikan kepercayaan mengetuai program ini.

“Sekiranya pihak persatuan mempunyai kelebihan dari segi dana ataupun mendapat sumbangan daripada luar, program ini akan dijalankan lagi.

“Kami juga berharap supaya masyarakat Tawau  sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan agar wabak COVID-19 dapat diputuskan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Teo Chew Tawau turut menerima sumbangan sebanyak 160 kotak pelitup muka daripada Tay Yi Kai untuk diagihkan kepada setiap ahli  dalam program tersebut.

Turut hadir,  Timbalan Pengerusi II Persatuan Teo Chew Tawau, Peter Shim serta beberapa AJK lain termasuk wanita dan pemuda persatuan tersebut.

  • oleh
  • Advertisement