Anda di sini

Polis tahan 61 individu termasuk dalang curi elektrik di Kampung Bawang

Advertisement
 Keadaan kabel pencawang utama yang dipenuhi cangkuk besi.
PANCING: Keadaan kabel pencawang utama yang dipenuhi cangkuk besi.
 Sebahagian individu yang ditahan dalam Ops Bersepadu di kawasan setinggan Kampung Bawang Kolombong, di sini.
TAHAN: Sebahagian individu yang ditahan dalam Ops Bersepadu di kawasan setinggan Kampung Bawang Kolombong, di sini.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan 61 individu termasuk tiga lelaki yang dipercayai dalang dalam kes mencuri bekalan elektrik dalam Ops Bersepadu di kawasan setinggan Kampung Bawang Kolombong, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Zaidi Abdullah berkata operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bermula jam 5 pagi hingga 11 pagi.

“Hasil operasi berjaya menahan 39 lelaki dan 22 wanita berumur 16 hingga 60 tahun dan turut ditahan tiga lelaki yang dipercayai menjadi dalang kepada penyambungan elektrik secara haram itu turut diberkas dalam operasi berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek ini dipercayai mengenakan sejumlah bayaran kepada mereka yang ingin membuat penyambungan baharu serta penyambungan semula ketika bekalan elektrik dipotong oleh SESB," katanya.

Katanya modus operandi mereka adalah menggunakan teknik 'pancing' iaitu dengan cara menggantung suatu cangkuk besi di kabel pencawang utama.

"Pemerhatian di penempatan itu mendapati banyak wayar atau kabel dipasang secara bahaya dipelbagai sudut dan apa yang lebih menggusarkan terdapat wayar dan kabel elektrik yang berada di takungan air.

"Semua tangkapan dan rampasan di bawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya. 

Tambahnya semasa operasi itu pasukan serbuan turut merampas kabel elektrik pelbagai jenis dianggarkan seberat 30 kilogram yang digunakan untuk menyambung serta mencuri arus elektrik.

  • oleh
  • Advertisement