Anda di sini

Lebih 1,000 penduduk Tawau terima vaksin di PPV hospital swasta

Advertisement
 Teo memeriksa kesihatan penerima vaksin sebelum memberikan suntikan tersebut.
PERIKSA: Teo memeriksa kesihatan penerima vaksin sebelum memberikan suntikan tersebut.

TAWAU: Lebih 1,000 penduduk di sini menerima suntikan vaksin di hospital swasta sejak minggu lalu dalam rangka mempercepatkan program vaksinasi di daerah ini.

Tinjauan di Tawau Specialist Hospital (TSH) yang merupakan hospital swasta pertama di daerah ini dilantik menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berjalan lancar dan teratur.

Pegawai Perubatan TSH, Dr Teo Kai Ming berkata PPV di hospital ini sudah bermula sejak 19 Julai lalu dan hanya menerima individu yang mendapat temujanji di MySejahtera sahaja.

“Kami tidak menerima secara 'walk in' kerana jumlah vaksin yang dibekalkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau sangat terhad.

“Pada minggu pertama, kami hanya diberikan sebanyak 54 dos vaksin sehari sebelum ianya dinaikan 200 dos dalam minggu ini,” katanya ketika ditemui media, di sini.

Menurutnya, pihaknya berharap mereka diberikan lebih banyak vaksin sehingga 300 dos sehari supaya lebih cepat daerah ini mencapai imuniti kelompok.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu pihak Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dalam melancarkan program vaksinasi di daerah ini.

“Seramai 10 kakitangan TSH yang terdiri daripada jururawat dan doktor bertauliah terlibat dalam proses vaksinasi di sini,” katanya.

Sementara itu, bagi penduduk yang menerima vaksin di sini, rata-rata berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak hospital.

Fatimah Latip, 62, berkata PPV di hospital ini sangat selesa dan tidak perlu menunggu lama untuk menerima vaksin.

“Saya hanya menunggu kurang dari 10 minit sahaja sehingga selesai menerima suntikan tersebut, tidak seperti yang saya dengar di PPV lain terpaksa menunggu lama kerana terlalu ramai orang.

“Selain itu, fasiliti yang terdapat di hospital ini sangat lengkap termasuk tempat menunggu yang disediakan sangat selesa dan berhawa dingin,” katanya.

Bagi Kaling Galan Pangkalang, 63, pula menzahirkan rasa syukur kerana dapat menerima suntikan vaksin di PPV hospital swasta.

Katanya, pengalaman menerima suntikan vaksin di PPV ini memang menyeronokkan kerana dapat layanan yang baik daripada petugas kesihatan.

“Semua kakitangan disini sangat ramah dan layanan mereka betul-betul memuaskan, daripada saya datang sehinggalah selesai menerima suntikan.

“Kami yang menerima suntikan vaksin di sini juga tidak perlu berdiri menunggu giliran kerana ruangan tempat duduk yang disediakan mencukupi,” katanya.

Untuk rekod lebih 55,000 iaitu sebanyak 15 peratus penduduk Tawau sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin sejak program vaksinasi dijalankan di daerah ini.

  • oleh
  • Advertisement