Anda di sini

Lebihan kendalian kasar perusahaan turun 6.9 peratus pada 2020

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Lebihan Kendalian Kasar (LKK) Malaysia merosot 6.9 peratus pada 2020 berbanding 3.7 peratus pada 2019 -- terendah selepas 2009 (-12.6 peratus) berikutan pengurangan kapasiti pengeluaran, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata LKK yang terdiri daripada keuntungan yang diperoleh firma, menyumbang 60.1 peratus kepada keseluruhan ekonomi pada 2020 berbanding 60.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan LKK dengan sumbangan 56 peratus tahun lepas.

“Ini diikuti sektor pembuatan pada 21.6 peratus, pertanian pada 10.5 peratus dan perlombongan dan pengkuarian pada 10 peratus, manakala sektor pembinaan menyumbang 1.9 peratus kepada LKK,” katanya dalam kenyataan bersempena penerbitan statistik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kaedah Pendapatan Malaysia bagi 2020.

Mohd Uzir berkata KDNK Malaysia pada harga semasa merekodkan penyusutan 6.4 peratus pada 2020 berbanding 4.5 peratus pada 2019 berikutan penurunan kesemua komponen pendapatan.

Pampasan pekerja (PP) yang terdiri daripada gaji yang dibayar kepada pekerja merosot tiga peratus pada 2020, penurunan kali pertama sejak siri masa direkodkan mulai 2005.

“Bagaimanapun, sumbangan PP kepada keseluruhan ekonomi meningkat kepada 37.2 peratus (2019: 35.9 peratus) disumbangkan oleh penurunan dalam LKK pada 2020,” katanya.

Mohd Uzir berkata dari segi sumbangan, PP bagi sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar bagi keseluruhan PP dengan sumbangan 63.5 peratus pada 2020.

“Sumbangan PP dalam sektor pembuatan adalah 22.6 peratus, diikuti sektor pembinaan dan pertanian yang masing-masing menyumbang 7.9 peratus dan 4.1 peratus.

“Bagi sektor selebihnya, perlombongan dan pengkuarian menyumbang 1.9 peratus kepada keseluruhan PP pada 2020,” katanya.

Mohd Uzir berkata cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import menyumbang 2.7 peratus kepada keseluruhan ekonomi pada 2020.

Cukai tolak subsidi merekodkan penurunan ketara pada 30.4 peratus disebabkan pengeluaran subsidi yang lebih tinggi dan cukai ke atas pengeluaran dan import yang lebih rendah pada 2020. - BERNAMA

Advertisement