Anda di sini

Suspek kelima kes bunuh Bill Kayong dibebas dengan jaminan polis

Advertisement
Suspek (berselipar) berselindung di sebalik beberapa tahanan lain untuk mengelak wajahnya dirakam oleh pihak media.
Suspek (berselipar) berselindung di sebalik beberapa tahanan lain untuk mengelak wajahnya dirakam oleh pihak media.

MIRI: Suspek kelima yang ditangkap berhubung kes pembunuhan bekas Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong diperintahkan Mahkamah Majistret supaya dibebas dengan jaminan polis.
    
Perintah itu dikeluarkan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie setelah mendengar permohonan yang dikemukakan pegawai penyiasat kanan ASP Lee Chee Keat.
    
Dalam permohonannya, Lee memberitahu bahawa tempoh reman lanjut ke atas suspek tamat pagi ini.
    
Justeru, beliau memohon agar suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebagaimana arahan yang diterima daripada Pengarah Pendakwaan Sarawak (PPN).
    
Terdahulu, suspek,  40, dari Siang-Siang Garden, Luak Bay di sini direman sebanyak dua kali dengan tempoh keseluruhan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
    
Suspek yang merupakan seorang pengusaha pusat hiburan menjadi buruan pihak polis sejak enam tahun lalu kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.
    
Suspek berjaya diberkas sekitar jam 2.30 pagi, 13 Julai lalu di hadapan Pintu 2 Ketibaan Domestik Aras 3 MTB Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh sepasukan polis diketuai Inspektor Virishna Muthu Krishnan.
    
Berikutan tangkapan itu, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dibawa ke Miri pada 16 Julai lalu.
    
Pada 19 Julai lalu, suspek diperintahkan supaya direman lanjut tujuh hari dan tempoh reman ke atasnya tamat pagi ini.

  • oleh
  • Advertisement