Anda di sini

SOP sedia ada akan diubah jika ada keperluan

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa membuat penilaian semula dan akan mengubah prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sekiranya ada keperluan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, langkah itu bagi memastikan SOP sedia ada kekal relevan dengan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Menurutnya, Sabah mencatatkan peningkatan kes tertinggi Ahad lepas dengan 818 kes baharu, dua kematian dan enam kluster baharu direkodkan.

Katanya dalam kenyataan semalam, jumlah berkenaan adalah yang tertinggi dicatatkan di Sabah sejak pelaksanaan Fasa 2 Pelan Pemuliharan Negara (PPN).

Namun pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan bilangan kes tinggi yang direkodkan kerana saringan bersasar dalam kalangan kontak rapat sedang dipergiatkan bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.

"Apa yang penting ketika ini adalah untuk mempercepatkan pemberian vakin dan sepanjang bulan ini sahaja, Sabah menerima lebih satu juta dos vaksin," katanya. 

Beliau berkata, dengan peningkatan jumlah pemberian vaksin harian, diharap orang ramai terus mematuhi semua SOP yang ditetapkan.

Dalam pada itu katanya, sejumlah 136 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksana dalam tempoh 24 jam, melibatkan pemeriksaan sebanyak 31,400 kenderaan. Daripada jumlah itu, sebanyak 121 kenderaan diarah berpatah balik.

"Sebanyak 43 kompaun melanggar SOP COVID-19 dikeluarkan di seluruh Sabah termasuk 12 orang tidak memakai pelitup muka dengan betul.

"Seramai tujuh individu gagal mendaftar masuk premis, tiga orang membawa penumpang berlebihan, dan 11 orang membuat aktiviti terlarang dan keluar masuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Tujuh individu lagi dikenakan kompaun kerana keluar masuk tanpa alasan munasabah, manakala tiga orang atas kesalahan rentas daerah tanpa kebenaran," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement