Anda di sini

PEMULIH bukti kerajaan mendengar denyut nadi rakyat

Advertisement

KUCHING: Kerajaan telah memperkenalkan pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang komprehensif pada 28 Jun lalu bagi memastikan tiada pihak yang tersisih dalam mendepani krisis COVID-19.

Diumumkan oleh Perdana Menteri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pakej PEMULIH bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion dan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Kelangsungan Perniagaan dan Meningkatkan Usaha Vaksinasi.

Tatkala kerajaan merencana pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat ketika waktu sukar ini, masih ada segelintir pihak mempersoalkan niat murni kerajaan memperkenalkan pakej-pakej rangsangan sejak negara dilanda COVID19 lebih setahun lalu.

Tidak kurang juga rakyat, termasuk golongan peniaga yang merungut bantuan dan inisiatif kerajaan tidak mencukupi atau tidak sampai ke golongan sasaran.

Benarkah persoalan atau rungutan yang ditimbulkan oleh segelintir pihak ini?

Salah satu inisiatif paling popular dalam pakej rangsangan kerajaan ialah Geran Khas Prihatin (GKP) dan di bawah fokus Menyokong Kelangsungan Perniagaan, PEMULIH meneruskan bantuan kepada golongan peniaga yang terkesan akibat pandemik ini dengan peruntukan RM1 bilion yang dinamakan GKP 4.0.

Bantuan di bawah GKP 3.0 menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang dinaikkan nilainya daripada RM1,000 kepada RM1,500 sebelum ini sudah pun disalurkan kepada kira-kira satu juta penerima iaitu RM1,000 pada bulan Jun 2021 dan bakinya, RM500 pada bulan Julai 2021.

Manakala,  GKP 4.0 PEMULIH, penerima yang layak akan menerima sebanyak RM500 pada bulan September 2021 dan RM500 lagi pada bulan November 2021.

Mohd Ariffin Abdullah, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Sarawak (PPPS)
Mohd Ariffin Abdullah, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Sarawak (PPPS)

Mengulas mengenai persoalan dan rungutan segelintir peniaga, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Sarawak (PPPS) Mohd Ariffin Abdullah berkata, bantuan-bantuan kerajaan tidak akan datang bergolek sekiranya peniaga tidak tampil memohon.

Ariffin memberi contoh, GKP yang ditambah nilainya di bawah PEMERKASA+ dan diteruskan di bawah PEMULIH membuktikan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat, termasuk peniaga yang memerlukan sokongan ketika berdepan waktu sukar ini terutamanya perniagaan yang masih tidak dibernarkan beroperasi.

“Persatuan sangat menghargai pelbagai jenis bantuan yang diumumkan semenjak PKP 1.0 dahulu. Besar atau kecil, bantuan tetap dialu-alukan.

“Sudah tentu inisiatif yang diperkenalkan banyak membantu dari segi subsidi sewa, diskaun utiliti, penangguhan bayaran bank dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Ariffin berkata, PPPS amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan menerusi GKP dan banyak lagi inisiatif PEMULIH yang membantu peniaga untuk terus bertahan pada waktu mencabar ini, terutama memulihkan aliran tunai mereka.

Menurut beliau di Sarawak, dianggarkan terdapat 20,000 penjaja dan majoriti mereka menyertai pelbagai persatuan penjaja yang berdaftar di daerah masing-masing.

Katanya, memandangkan bantuan berkenaan adalah secara umum dan bukan khas disasarkan kepada persatuan, maka ramai ahli persatuan yang layak memohon secara individu.

“Saya cadangkan, bantuan untuk mereka yang dalam kategori ini mungkin boleh disalurkan melalui persatuan,” katanya.

Beliau turut menggesa peniaga agar mengambil peluang memohon bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan.

“Kita faham situasi sekarang amat mencabar, proaktiflah mohon bantuan kerajaan dan manfaatkan peluang ini sebaik mungkin.

“Mungkin ada yang merungut bantuan kerajaan tidak mencukupi, namun kita perlu akui apa jua bantuan ketika ini disediakan untuk memastikan perniagaan 
dapat bertahan menempuh cabaran ekonomi, bukan untuk memperkayakan sesiapa,” katanya.

PEMULIH merupakan kesinambungan kepada pakej-pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan sejak lebih setahun lalu merangkumi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), PEMERKASA dan PEMERKASA+.

Ia meneruskan pelbagai bantuan dan inisiatif untuk segenap lapisan rakyat, sektor ekonomi dan perniagaan serta memacu strategi vaksinasi COVID-19 bagi mengharungi fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

John Teo, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sarawak
John Teo, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sarawak

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sarawak John Teo berkata, pelbagai inisiatif di bawah PEMULIH amat bermakna kepada industri hospitaliti, termasuk di Sarawak.

Contoh paling mudah katanya, diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan kepada pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks beli-belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

“Sudah tentu pengendali hotel serta pengusaha lain dalam industri pelancongan amat menghargai lanjutan subsidi oleh kerajaan ini yang pastinya membantu kami pada waktu mencabar ini.

“Kami juga menyambut baik penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Menurutnya lagi, MAH Sarawak turut menghargai bantuan khas secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Justeru katanya, mana-mana agensi pelancongan perlu berdaftar dengan MOTAC untuk menikmati bantuan khas tersebut, jika tidak tiada guna merungut bantuan tidak sampai ke sasaran.

Sebagai pengusaha hotel katanya, ahli-ahli persatuan terjejas teruk kerana tidak beroperasi.

“Lanjutan bantuan daripada kerajaan termasuk kepada industri perhotelan memberi makna yang amat besar kepada kami.

“Kita berharap pandemik dapat berakhir secepat mungkin. Kita harap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus berjalan lancar agar situasi pulih
dan perniagaan dapat kembali beroperasi,” katanya.

John turut yakin, PEMULIH akan menjadi tonggak kejayaan PPN dan PICK seterusnya memacu negara keluar daripada kemelut ekonomi pasca COVID-19.
 
Satu lagi inisiatif yang dekat di hati rakyat sejak mula-mula pakej rangsangan diperkenalkan kerajaan ialah bantuan tunai termasuk Bantuan Prihatin Rakyat
(BPR).

Di bawah PEMULIH, kerajaan memperuntukkan bantuan tunai berjumlah RM10 bilion sehingga akhir tahun ini, termasuk RM4.9 bilion untuk BPR.
 

Edwin Indek
Edwin Indek

Penerima BPR, Edwin Indek, 50, bersyukur dengan bantuan kerajaan sejak BPR diperkenalkan sehingga kini kerana meringankan beban keluarganya.

“Usaha kerajaan ini memang wajar terutama kepada golongan B40 yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19 ini.

“Ini kerana bantuan yang disalurkan seperti BPR ini amat berguna kepada rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup khasnya mereka yang benar-benar memerlukan pada saat sukar ini,” katanya.
  
Edwin yang bekerja sebagai juruelektrik berkata, PEMULIH adalah bukti kerajaan sentiasa mencari jalan agar bantuan-bantuan terdahulu diteruskan dan ditambah baik.

Malah katanya, jika diamati kerajaan sememangnya berusaha memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021.

Edwin turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pemberian Bantuan Khas COVID-19 (BKC) di bawah PEMULIH termasuk kepada isi rumah kategori B40 yang akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Ogos dan RM300 pada bulan Disember.

“Harapan saya kepada kerajaan agar terus mendengar suara rakyat dan membantu kami dalam menghadapi saat sukar masa kini,” katanya.

Sementara itu, inisiatif yang turut dirasai di peringkat akar umbi ialah Bantuan Bakul Makanan yang sedang rancak dilaksanakan di seluruh negara ketika ini.

Pada mulanya, ia diperkenalkan di bawah PERMAI dengan peruntukan RM50 juta dan kini diteruskan dan dilengkapkan di bawah PEMULIH dengan tambahan RM80 juta yang akan diagihkan ke semua kawasan Parlimen.

Salah seorang penerima Bantuan Bakul Makanan, Norjanah Baharon, 57, dari Kampung Sungai Bedil Besar di sini amat berterima kasih atas inisiatif kerajaan ini.

“Serba sedikit beban kami dikurangkan dari segi makan minum dan menampung keperluan harian kami sekeluarga.

“Syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana dapat membantu kami semasa waktu sukar ini, terutamanya dalam memastikan bantuan keperluan asas sentiasa ada,” katanya.
 
Norjanah yang merupakan peniaga kecil-kecilan turut berharap kerajaan akan meneruskan bantuan berbentuk makanan asas untuk memastikan tiada rakyat yang berlapar ketika waktu sukar ini.
 

Norjanah Baharon (kiri) dan Hajijah Abdul Latip
Norjanah Baharon (kiri) dan Hajijah Abdul Latip

Senada dengan Norjanah, Hajijah Abdul Latip, 56, ketika ditemui berkata, Bantuan Bakul Makanan yang diterimanya baru-baru ini sekurang-kurangnya mampu menampung bekalan makanan mereka sekeluarga dalam tempoh dua minggu.

“Syukur sangat atas bantuan yang diberikan ini kerana sebagai peniaga kecil di kampung, sudah pasti waktu COVID-19 ini mencabar bagi kami kerana tidak dapat berniaga sepenuhnya.

“Dengan bantuan diberikan, ia membantu dari segi keperluan asas, meskipun bantuan ini mungkin tidak sampai sebulan bagi keluarga besar.

“Sekurang-kurangnya, ia menambah kepada bekalan sedia ada daripada pendapatan kami sendiri,” katanya yang berharap kerajaan akan menyalurkan lebih banyak bantuan makanan seperti di bawah PEMULIH.
  
Orang ramai dan komuniti perniagaan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bantuan-bantuan disediakan di bawah PEMULIH boleh melayari ttps://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat.

Norjanah (kanan) bersama Hajijah semasa menerima bantuan Bakul Makanan PEMULIH di bawah kawasan Parlimen Petra Jaya.
Norjanah (kanan) bersama Hajijah semasa menerima bantuan Bakul Makanan PEMULIH di bawah kawasan Parlimen Petra Jaya.
  • oleh
  • Advertisement