Anda di sini

Moratorium kaedah pengurusan kewangan bantu rakyat terjejas PKP

Advertisement

MIRI: Sejak negara dilanda penularan COVID-19 lebih setahun lalu, kerajaan komited memberikan bantuan menyeluruh berterusan  untuk meringankan beban rakyat  susulan kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan.

Bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), kerajaan memperkenalkan enam pakej rangsangan iaitu PRIHATIN PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+.

Untuk memastikan pakej rangsangan kerajaan ditambah baik dan saling melengkapi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan kelapan dan terbaharu, pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun lalu.

Salah satu inisiatif PEMULIH yang hangat diperkatakan ketika ini ialah moratorium pinjaman yang terbuka kepada semua peminjam yang layak tanpa syarat, tanpa faedah terkumpul atau caj penalti. Ini membantu memberikan kelegaan kepada peminjam untuk menguruskan alian tunai mereka.

Perlu ditekankan, walaupun bukan suntikan langsung fiskal, moratorium adalah sebahagian daripada ekosistem kerajaan yang memerlukan kerjasama institusi perbankan tempatan.

Selaras dengan pelanjutan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), moratorium dilihat sebagai satu cara untuk meringankan beban kewangan peminjam ketika berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Ia adalah pilihan paling tepat dalam membantu lebih lima juta peminjam di seluruh negara, khususnya dari kumpulan B40, M40, T20 yang hilang pekerjaan dan pengurangan gaji, selain mereka yang terjejas sumber pendapatan (perniagaan), termasuk para peniaga mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Sejak Oktober 2020, sejumlah 1.5 juta peminjam telah dipilih dan mendapat manfaat daripada moratorium yang melibatkan penangguhan jumlah ansuran sehingga RM30 bilion.

Di bawah PEMULIH, inisiatif moratorium ditambah baik dengan peruntukan RM80 bilion merangkumi RM60 bilion untuk fokus Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat dan RM20 bilion bagi Menyokong Kelangsungan Perniagaan.
 

Iqbal Abdollah, penjawat awam
Iqbal Abdollah, penjawat awam

Seorang penjawat awam yang turut menerima manfaat daripada inisiatif moratorium, Iqbal Abdollah dari Miri berkata, ia adalah satu bentuk atau kaedah pengurusan kewangan yang membantu rakyat menghadapi tekanan PKP ketika ini.

“Bagi yang berasa diri mereka kurang berupaya menjelaskan komitmen kewangan dalam tempoh pandemik, moratorium adalah jawapannya.

“Bagi yang kurang atau tidak terjejas, adalah lebih baik meneruskan komitmen sedia ada agar tidak terjejas di kemudian hari.

“Apapun, orang awam perlu berbincang dengan pihak bank ataupun Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) jika kurang pasti sama ada perlu mengambil kaedah moratorium atau tidak.

“Ini kerana, apa yang penting pada waktu ini ialah kita mampu meletakkan makanan di atas meja untuk isi keluarga,” ujarnya.

Iqbal menambah, kemudahan moratorium wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk memudahkan aliran tunai peminjam.

“Guna inisiatif ini dengan berhemah kerana moratorium bukan ‘payment holiday’,” katanya sambil menambah, akhirnya setiap pinjaman adalah kontrak yang perlu dipatuhi dan diselesaikan.
 

Nelly Tawai, kakitangan perakaunan
Nelly Tawai, kakitangan perakaunan

Sementara itu, seorang kakitangan awam bahagian perakaunan, Nelly Tawai memberitahu, moratorium membantu memastikan keupayaan tunai rakyat tidak terjejas dan mengekalkan kuasa beli untuk sama-sama menjayakan PPN.

Pelaksanaan PKP 3.0 katanya, menjejaskan ekonomi negara sekali gus menyaksikan perbelanjaan isi rumah terutamanya membiayai keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan utiliti seperti bil elektrik, air dan Internet menjadi bertambah berat bagi rakyat.

“Justeru, pelaksanaan moratorium oleh kerajaan pada PKP sebelum ini boleh dijadikan asas untuk pelaksanaan moratorium yang ditambah baik di bawah PEMULIH bagi mendepani cabaran PKP 3.0 secara lebih efisien, sekali gus membantu rakyat yang amat memerlukan,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, institusi perbankan perlu memberi maklumat lanjut mengenai pakej bantuan ini dan memperjelaskan polisi agar dapat difahami sebaiknya oleh setiap pemohon.

“Pada masa yang sama, ia mengelak mereka daripada terkeliru dengan maklumat kurang tepat yang tular di media sosial ketika ini,” jelas beliau.
 

Malvina Albert Klinsing, guru
Malvina Albert Klinsing, guru

Seorang guru sekolah rendah di Miri, Malvina Albert Klinsing turut mengakui inisiatif moratorium amat melegakan golongan terjejas termasuk penjawat awam.

“Pada pandangan saya, ia bukan hanya tentang keperluan keluarga kita semata-mata, tetapi ada yang terpaksa menanggung sekali ibu bapa sendiri, mentua, malah keluarga adik-beradik lain yang mungkin berdepan situasi sukar.

“Justeru, pakej PEMULIH yang menambah baik inisiatif moratorium sememangnya amat bertepatan sehingga keadaan dan ekonomi rakyat menjadi lebih baik, biarpun belum pulih sepenuhnya kerana pada akhirnya, kita tetap masih perlu membayar balik pinjaman tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, moratorium juga dapat mengelak daripada kemuflisan akibat kejatuhan teruk perolehan syarikat-syarikat, golongan bekerja sendiri dan isi rumah yang tiada pendapatan tetap.

Beliau turut menghargai usaha kerajaan yang bersusah payah mendapatkan persetujuan dan kerjasama institusi perbankan untuk merealisasikan inisiatif moratorium ini.

Untuk rekod, di bawah PEMULIH, moratorium enam bulan ditawarkan kepada semua peminjam merangkumi individu B40, M40 dan T20, selain peniaga mikro tanpa syarat atau semakan mahupun dokumentasi, serta PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan institusi perbankan.

“Justeru, bagi mereka yang benar-benar terjejas akibat pandemik COVID-19, moratorium adalah bukti kerajaan peka terhadap keperluan dan kesusahan yang dihadapi mereka.

“Mungkin ada individu atau peniaga yang tidak memerlukannya, sebab itulah ia perlu dimohon daripada institusi perbankan masing-masing,” katanya.

Klik https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif dan bantuan yang disediakan di bawah PEMULIH. 
 

  • oleh
  • Advertisement