Anda di sini

Benarkan industri pengiklanan di Sabah beroperasi semula

Advertisement
 Kenny (tiga kiri) menyerahkan surat rayuan kepada Masidi
SERAH: Kenny (tiga kiri) menyerahkan surat rayuan kepada Masidi

KOTA KINABALU: Persatuan Pengiklanan Sabah memohon Kerajaan Negeri untuk membenarkan industri iklan dan papan tanda beroperasi semula.

Pengerusinya, Kenny Ho berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan terhadap semua sektor, termasuk perniagaan pengiklanan di Sabah.

Kenny berkata, ahli-ahlinya mematuhi arahan kerajaan sepanjang pelaksanaan PKP, bagaimanapun berhentinya operasi pengiklanan menyebabkan mereka mengalami masalah kewangan seperti kos tertunggak termasuklah kos menyewa premis, gaji pekerja, pengangkutan yang tidak produktif dan banyak lagi. 

“Oleh itu, kami mengalami kerugian dan beban yang besar sehingga sebilangan ahli mungkin akan menutup kedai secara kekal," katanya ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, industri pengiklanan juga adalah sektor penting yang berhubung kait dengan semua bahagian perdagangan dan kerajaan, tanpa beroperasi ia juga akan menyebabkan bidang berkaitan tidak dapat berfungsi.

Kenny berkata, Sabah kini memasuki Fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan banyak sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi termasuk restoran.

Oleh itu, Kenny mewakili 80 ahli persatuan merayu kepada Kerajaan Negeri agar memberi kebenaran khas kepada mereka untuk meneruskan operasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti yang ditetapkan.

"Kami sangat berharap agar rayuan kami mendapat perhatian, pertimbangan dan persetujuan oleh Kerajaan Negeri, khususnya Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement