Anda di sini

Kutipan royalti, artis muzik etnik Sarawak dipelawa sertai MRSB

Advertisement
Karyawan dipelawa sertai webinar MRSB pada Ahad ini jam 8 malam bagi mengetahui bagaimana Akta Hak Cipta 1987 melindungi pengkarya.
Karyawan dipelawa sertai webinar MRSB pada Ahad ini jam 8 malam bagi mengetahui bagaimana Akta Hak Cipta 1987 melindungi pengkarya.

KUCHING: Penggiat industri muzik etnik tempatan di negeri ini dipelawa untuk memohon menjadi ahli Music Right (Sarawak) Berhad (MRSB). 

Pengerusi Persatuan Armada Anak Seni Sarawak (ARAS) Gibson Rentap berkata MRSB merupakan entiti berasingan yang fokus kepada kutipan royalti muzik dan pengeluaran lesen penggunaan muzik di khalayak umum khususnya di Sarawak. 

Skop kutipan royalti katanya hanyalah ke atas lagu-lagu etnik tempatan Sarawak seperti lagu Iban, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Salako dan lain-lain. 

“MRSB sudah mengemukakan permohonan sebagai badan perlesenan dengan fungsi sama seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Recording Performers Malaysia (RPM) dan Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada Disember tahun lepas. 

“Jika permohonan ini diluluskan, MRSB yang dianggotai pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman tempatan akan menjadi badan perlesenan yang fokus kepada kutipan royalti lagu-lagu etnik tempatan di Sarawak,” katanya menerusi kenyataan. 

Tambah Gibson, MRSB dan Music Rights Sabah (MRS) telah menyertai webinar anjuran Wisdom Foundation Sabah bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi MyIPO Datuk Mohamad Alamin pada 15 Jun lepas. 

Dalam webinar tersebut katanya, menteri dan pengerusi MyIPO secara dasarnya telah memberi lampu hijau untuk penubuhan badan perlesenan masing-masing di Sabah dan Sarawak. 

Dengan menjadi ahli MRSB kata Gibson, hasil karya anak-anak seni muzik tempatan akan mendapat pendapatan tambahan melalui pembayaran royalti tahunan apabila MRSB diiktiraf sebagai badan perlesenan kelak. 

Maklumat lanjut katanya boleh layari laman Facebook Persatuan Armada Anak Seni Sarawak dan laman Facebook Music Right Sarawak Berhad atau hubungi Lewelyn Lawas Julin di talian 014-6175018 pada waktu pejabat. 

Dalam pada itu MRSB akan mengadakan sesi webinar pada Ahad ini bagi membincangkan mengenai Akta Hak Cipta 1987 secara penstriman langsung di laman Facebook Music Right Sarawak Berhad bermula jam 8 malam. 

Webinar ini akan disertai Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak Maruni Langga sebagai tetamu jemputan dan Gibson sendiri sebagai moderator. 
 

  • oleh
  • Advertisement