Anda di sini

Isuzu D-Max ternyata bukan sekadar trak pikap

Advertisement

# Bukan sahaja canggih dengan teknologi terkini, selamat, dan kukuh tetapi juga lebih menawan berbanding pesaing

 Tidak dinafikan Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 mampu mendaki bukit Kimanis dengan mudah.
KIMANIS: Tidak dinafikan Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 mampu mendaki bukit Kimanis dengan mudah.

MINGGU lepas, saya mempunyai tugasan mencabar beberapa hari berturut-turut. Semuanya berkaitan program vaksinasi COVID-19 yang serentak berjalan di seluruh daerah di negeri ini.


Hari pertama ke Beaufort di pantai barat selatan, kira-kira 96 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, manakala hari berikutnya ke Membakut, sejauh 78 km pada sebelah pagi dan kemudian ke Keningau di pedalaman, kira-kira 109km pada sebelah petang.


Di sebalik kesibukan itu, saya tidak terasa penatnya, malah selesa sepanjang pemanduan menjayakan misi tugasan di tengah-tengah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh Sabah.


Terima kasih kepada Isuzu Malaysia kerana memberi peluang memandu uji D-Max generasi ketiga, X-Terrain, yang dilancarkan beberapa bulan lalu.

 Wartawan yang memandu uji Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 menunjukkan isyarat 'bagus'.
BAGUS: Wartawan yang memandu uji Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 menunjukkan isyarat 'bagus'.

Peluang itu benar-benar memudahkan tugasan saya. Malahan, tugasan Keningau merupakan paling menarik kerana bentuk muka bumi dan keadaan geografinya yang benar-benar lasak menguji ketahanan pemanduan.


Dengan D-Max X-Terrain, enjin diesel 3.0 liter turbo transmisi enam kelajuan automatik, saya berjaya menyempurnakan tugasan tanpa halangan -- menghantar laporan berita ke pejabat menepati `deadline' dan Indeks Prestasi Utama (KPI).


Dua kali diberikan tugasan ke Keningau, saya terima dengan senyuman.

 
Pemanduan dengan  X-Terrain mendaki  bukit curam bengkang-bengkok dari Kimanis hingga Keningau, tidak terasa kepayahannya sedang sebelum ini Bukit Kimanis sememangnya sentiasa digeruni ramai pemandu.


Dalam masa kurang satu jam, saya sudah sampai ke destinasi di pekan Keningau, mendahului tetamu kehormat yang hadir menyempurnakan perasmian.


Memandu mendaki Bukit Kimanis `macam makan kacang saja' kerana saya tidak perlu menurunkan gear rendah. Malahan, saya beberapa kali dapat `overtake' kenderaan pacuan empat roda di laluan mendaki yang agak curam dan mencabar.

 Rupa luaran belakang Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 cukup bergaya.
MENAWAN: Rupa luaran belakang Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 cukup bergaya.

Kekuatan enjin X-Terrain benar-benar teruji di Bukit Kimanis. Dengan sistem penghawa dingin kuat berpasang, ia meluncur laju menyusuri jalan lengang dek kurang kenderaan akibat pelaksanaan PKP.


Setiap kali saya `overtake' kenderaan lain, saya melihat pada sisi tingkap, orang itu sekadar memerhati X-Terrain meninggalkan mereka.


Memandu uji kenderaan ini juga menjadi kebanggaan. Ini kerana ia sentiasa mendapati perhatian, apatah lagi dengan warna Valencia Orange (oren) yang sungguh menyerlah dari kejauhan.


Sememangnya, dari seri rupa, trak pikap generasi ketiga itu hadir dengan imej lebih gagah dan sedap mata memandang pada keseluruhan bahagian luaran -- dilengkapi rim aloi bersaiz 18 inci, manakala bahagian belakang diserikan kombinasi lampu belakang LED dan bampar dengan imej lebih kemas.


Kombinasi enjin dan transmisi bagi varian X-Terrain mampu menghasilkan kuasa maksimum 190PS pada 3,600rpm dan tork maksimum setinggi 450Nm pada 1,600 hingga 2,600rpm. Model ini menggunakan tangki bahan api bersaiz 76 liter.

 Beberapa orang telah menyatakan minat terhadap Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 setelah pertama kali melihat kenderaan itu.
TERTARIK: Beberapa orang telah menyatakan minat terhadap Isuzu D-Max X-Terrain 3.0 setelah pertama kali melihat kenderaan itu.

Isuzu D-Max generasi ketiga dibina menggunakan platform Isuzu Dynamic Drive yang meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan.


Antara ciri menarik di bahagian kokpit ialah unit kawalan penghawa dingin dua zon automatik, stereng boleh laras, tombol gear rekaan baharu (sedap dipegang), paparan infotainment bersaiz sembilan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan AndroidAuto.


D-Max X-Terrain turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti Sistem Bantuan Pemandu Termaju (Advanced Driver Assist System) seperti amaran keluar lorong, amaran titik buta, amaran trafik lintasan belakang serta Autonomous Emergency Brake, Forward Collision Warning dan Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop and Go.


Selain itu, model ini juga hadir dengan tujuh beg udara keselamatan, Isofix, Brake Override System dan Child Protect Safety Lock.


Turut ditawarkan ialah dua model Single Cab yang datang dengan pilihan enjin 1.9-liter atau 3.0-liter.


Trak pelbagai kegunaan ini juga menawarkan kemampuan mengangkut beban yang luas dan fleksibel serta datang dengan kelengkapan keselamatan penting, membolehkannya diberikan penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP.


Varian X-Terrain datang dalam warna eksklusif Valencia Orange atau Sapphire Blue, sementara model lain ditawarkan dalam pilihan warna seperti Silky White Pearl, Mercury Silver, Onyx Black dan Splash White.


Semua model Isuzu D-Max menikmati jaminan lima-tahun atau 150,000 km, sementara X-Terrain pula diberikan jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan — ini adalah jaminan terbaik dalam kelas kenderaan trak pikap setakat ini.


Ternyata Isuzu D-Max X-Terrain yang baharu ini bukan sahaja gagah pada luaran tetapi cukup selesa umpama memandu sebuah sedan dengan imej pikap yang begitu 'sporty' sesuai selera peminat pacuan empat roda masa kini.

Advertisement