Anda di sini

Sabah sasar 60 peratus penduduk divaksinasi menjelang Oktober

Advertisement
 Hajiji (tengah) merakam kenangan bersama rombongan MATTA yang diketuai oleh Tan (tiga kiri).
KUNJUNGAN: Hajiji (tengah) merakam kenangan bersama rombongan MATTA yang diketuai oleh Tan (tiga kiri).
 

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk di negeri ini menerima vaksinasi menjelang Oktober depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sasaran berkenaan akan membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan dibuka semula termasuk pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut mengulangi gesaannya agar kerajaan Persekutuan mempercepatkan bekalan vaksin ke Sabah yang melibatkan sebanyak 600,000 dos vaksin bulan ini dan 1.2 juta dos pada Ogos.

"Kami mahu mengekalkan momentum untuk memastikan penduduk mendapat vaksin secepat mungkin," katanya dalam pertemuan dengan Jawatankuasa Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang diketuai oleh Presiden MATTA Datuk K.L Tan di sini hari ini.

Mengenai cadangan MATTA untuk menghidupkan semua industri pelancongan pasca COVID-19, Hajiji memberi jaminan akan memastikan industri pelancongan di Sabah berjaya melalui pelan pemulihan pelancongan yang komprehensif. 

Beliau berkata, di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, kerajaan memperuntukkan RM2.88 juta menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Katanya, bantuan berkenaan untuk diagihkan kepada pemandu pelancong, penyelam, malim gunung, porter, pengusaha hotel dan pengendali inap desa yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Hajiji turut bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan malim gunung bagi memberikan bantuan sekali gus menyaksikan pengendalian program vaksinasi pelancongan di Kundasang Ranau.
 

  • oleh
  • Advertisement