Anda di sini

Muzik video Alena Murang menang dua anugerah di UK

Advertisement
 Gambar tangkap layar Alena Murang di laman Facebook beliau.
DAPAT PENGIKTIRAFAN: Gambar tangkap layar Alena Murang di laman Facebook beliau.

KUCHING: Penyanyi dan bintang sape kelahiran Sarawak, Alena Murang mengharumkan nama negara apabila meraih dua anugerah berprestij muzik video antarabangsa di United Kingdom (UK) baru-baru ini.  

Muzik video bertajuk ‘Warrior Spirit’ memenangi Best Asia dan Pacific Music Video dan mendapat ‘Honourable Mention for Best Costume’.

‘Warrior Spirit’ diarahkan oleh sepupu Alena iaitu Sarah Lois Dorai dan dihasilkan bersama Kanid Studio and Project Room.

‘Warrior Spirit’ turut tercalon dalam separuh akhir untuk anugerah Filem Terbaik di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“’Warrior Spirit’ menunjukkan kekuatan dalaman kami yang berasal dari darah pahlawan,” kata Alena mengenai muzik video tersebut yang disiarkan di YouTube pada 27 Mei lalu sebagai sebahagian dari album ‘Sky Songs’.

Beliau yang mempunyai keturunan Dayak dan Kelabit menggunakan muzik dan pembuatan filem sebagai platforn untuk memberi kesedaran mengenai warisan Borneo.   

“Moyang saya, Balang Nganud merupakan pahlawan yang disegani dan penduduk menggelar beliau sebagai harimau yang mengapungkan kepala musuh di sungai.

“Meskipun tidak lagi mengamalkan amalan tersebut, kami mewarisi semangat, kesungguhan, kekuatan dan lebih-lebih lagi kesungguhan mereka untuk berjuang bersama.

“Saya rasa ramai rakyat Malaysia dan masyarakat di serata dunia juga boleh menghubungkan semangat pahlawan itu,” katanya.

Keseluruhan video termasuk muzik hingga ke tarian dan kostum mengambil inspirasi daripada kepelbagaian budaya Borneo terutama di Sarawak.

Sementara itu, Sarah berkata kemenangan dan pencalonan di festival menunjukkan bahawa terdapat minat dalam penceritaan yang mahu disampaikan.

“Kami berharap lebih banyak filem dan suara dari komuniti pribumi akan diberi sokongan pada masa hadapan,” kata beliau yang mengarahkan video tersebut.

Advertisement