Anda di sini

PPV Hospital Pakar KPJ Sabah dibuka untuk orang awam

Advertisement
 Faizal (tengah) bergambar dengan salah seorang penerima vaksin bersama Pengarah Perubatan Hospital KPJ Sabah Prof. Datuk Dr. Ajaz Ahmad Nabijan (kiri) dan Timbalan Pengarah Perubatan Hospital KPJ Sabah Dr. Lim Keok Tang (kanan).
VAKSIN: Faizal (tengah) bergambar dengan salah seorang penerima vaksin bersama Pengarah Perubatan Hospital KPJ Sabah Prof. Datuk Dr. Ajaz Ahmad Nabijan (kiri) dan Timbalan Pengarah Perubatan Hospital KPJ Sabah Dr. Lim Keok Tang (kanan).

KOTA KINABALU: Hospital Pakar KPJ Sabah menjadi sebuah lagi hospital swasta di negeri ini sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terkini dibuka di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Sabah Mohamad Faizal Mohamed berkata, penyertaan KPJ Sabah sebagai PPV bertujuan membantu kerajaan negeri yang menyasarkan seramai 268,000 orang menerima vaksin dalam fasa kedua PICK.

Menurutnya, di bawah fasa kedua PICK, golongan berisiko tinggi dan warga emas serta orang kelainan upaya (OKU) antara fokus yang diutamakan sebagai penerima vaksin.

"Kita sentiasa bersedia untuk memberi sokongan kepada kerajaan untuk meningkatkan kadar jumlah vaksinasi dalam mencapai imuniti berkelompok khususnya di Sabah.

"Kemudahan di Hospital KPJ Sabah termasuk pasukan perubatan dan bukan perubatan bersama hospitaliti kami bersedia menyambut para penerima vaksin di PPV ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, Hospital KPJ Sabah antara beberapa hospital swasta di Sabah yang diberi kepercayaan untuk menjadi PPV yang dibuka kepada orang awam.

Katanya, setakat ini kuota pemberian vaksin di PPV berkenaan adalah sebanyak 100 dos sehari dan operasi dibuka sepanjang Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

"Senarai penerima vaksin diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mereka yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dan pihak KPJ Sabah akan membantu mengingatkan penerima mengenai tarikh temujanji mereka.

"Hari pertama operasi PPV di Hospital KPJ Sabah ini menunjukkan kebanyakan penerima dalam kalangan mereka yang berumur di antara 80 hingga 85 tahun.

"Pada awalnya di sebelah pagi hanya beberapa orang sahaja yang datang tetapi selepas itu orang ramai mula datang menerima vaksin dan kakitangan hospital ada di setiap kaunter vaksinasi yang disediakan," jelasnya.

Katanya, semua jadual temujanji berdasarkan platform MySejahtera dan semua penerima akan mendapat makluman awal menerusi aplikasi berkenaan.

Menurutnya, sekiranya penerima yang datang tidak mempunyai temujanji, pihaknya tidak akan menerima pihak terbabit untuk mendapatkan vaksin.

Beliau berkata, semua pemberian vaksin di PPV Hospital KPJ Sabah adalah percuma tanpa ada sebarang bayaran dikenakan kepada penerima dan sebarang maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang https://www.kpjhealth.com.my/sabah/.
 

  • oleh
  • Advertisement