Anda di sini

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$110.94 bilion pada akhir Mei 2021

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$110.94 bilion sehingga akhir Mei 2021 berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (IMF SDDS) Tabung Kewangan Antabangsa (IMF).

Dalam kenyataan pada Rabu, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata aset mata wang asing lain bagi tempoh sama berjumlah US$882.8 juta.

Menurut BNM, butiran terperinci rizab antarabangsa itu memaparkan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Bagi 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang, berjumlah US$6.09 bilion.

“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak US$8.34 bilion manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak US$880 juta pada akhir Mei 2021 yang mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” kata BNM dalam Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa Pada Akhir Mei 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, bank pusat itu berkata data berkenaan tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah US$2.3 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Menurutnya, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun berjumlah US$389.1 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta bank dan institusi kewangan lain.

“Bank Negara juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” kata bank pusat itu. - Bernama 

Advertisement