Anda di sini

‘The Serpent’ siri TV popular berdasarkan pembunuh sebenar

Advertisement
 Bintang Perancis Tahar Rahim berlakon sebagai Sobhraj dalam siri TV yang dihasil bersama oleh BBC dan Netflix, ‘The Serpent’, menampilkan Bangkok pada tahun 1970-an dalam tona sepia, di jalanan yang sesak.
SIRI TV: Bintang Perancis Tahar Rahim berlakon sebagai Sobhraj dalam siri TV yang dihasil bersama oleh BBC dan Netflix, ‘The Serpent’, menampilkan Bangkok pada tahun 1970-an dalam tona sepia, di jalanan yang sesak.

HAMPIR separuh abad selepas menanam ketakutan di sepanjang ‘jejak hippie’ tahun 1970-an, pembunuh bersiri Perancis Charles Sobhraj, si ‘Serpent’ dalam siri drama TV yang popular itu, masih menghantui sesiapa yang pernah bertembung dengannya.

Kini berusia 77 tahun dan dipenjarakan dalam kurungan bersendirian di Nepal sejak 2003, Sobhraj disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya sedozen pembunuhan di seluruh Asia pada tahun 1970-an.

Modus operandinya adalah untuk menawan dan berkawan dengan mangsanya, kebanyakannya pengembara Barat, sebelum memberikan mereka dadah, merompak dan membunuh mereka.

Siri TV tersebut, dihasil bersama oleh BBC dan Netflix, menampilkan Bangkok pada tahun 1970-an dalam tona sepia, di jalanan yang sesak.

Bintang Perancis Tahar Rahim berlakon sebagai Sobhraj, menawan, dan bijak memanipulasi, sama seperti gerak geri pembunuh itu.

- JIRAN –

Ketika Nadine Gires melawat set siri itu dan melihat Rahim membawa karektor Sobhraj, kenangan silam mengimbau kembali.

“Saya takut. Saya fikirkan dia telah terlepas dari penjara, dan kembali untuk melakukan kejahatan. Semua emosi kembali, kemarahan, ketakutan,” katanya.

Sobhraj, seorang warga Perancis yang berketurunan Vietnam dan India, tiba di Bangkok pada Oktober 1975 bersama teman wanita Kanadanya dan seorang rakan India.

Mereka berpindah ke pangsapuri dalam bangunan yang sama dengan Gires, berdekatan kawasan Patpong, Bangkok.

Gires berusia 22 tahun pada ketika itu, tertarik dengan Sobhraj, ditambah lagi apabila Sobhraj memberitahu bahawa dia ialah seorang peniaga batu permata, taktik yang digunakannya untuk menarik penggembara yang kesempitan wang.

“Dia berbudi bahasa. Sebagai jiran kami cepat mengenali satu sama lain,” katanya. Namun kesangsian mula timbul.

“Ramai orang menjadi sakit di rumahnya. Saya secara bergurau berkata kepada Charles, ‘Kamu meletakkan jampi kepada mereka’.”

Gires kini berusia 67 tahun berkata dia tidak tahu apa yang dilakukan oleh Sobhraj.

“Kami memikirkan ia aneh, tapi bagaimana kami boleh membayangkan perlakuan seperti itu?” katanya.

Namun semuanya berubah pada Krismas 1975, apabila seorang pemuda Perancis yang tinggal bersama Sobhraj menunjukkan peti yang penuh dengan pasport palsu.

“Dia memberitahu kami: ‘Dia meracuni orang’. Dia berada dalam ketakutan. Bukan sahaja seorang penipu, penggoda, perompak pelancong, namun seorang pembunuh kejam. Ini perlu dihentikan.”

Bersama dengan ahli diplomat Belanda Herman Knippenberg, dia menggumpul bukti tentang kelicikan Sobhraj, lelaki dengan pelbagai identiti dan bijak merahsiakan perlakuannya.

Gires menggeledah pangsapuri Sobhraj dan mengunjungi pusat penggembara mencari petunjuk tentang mangsa hilang.

Dalam satu babak yang paling dramatik rancangan TV itu, Sobhraj bertembung dengannya.

Detik pada Mac 1976 yang menjadi asas babak tersebut masih lagi segar dalam ingatan Gires.

“Di sebuah lobi hotel, seseorang menyapa saya dari belakang. Itu adalah dia. Itulah saat yang paling menggerunkan dalam hidup saya,” kata Gires.

Gires bersetuju untuk pulang bersama Sobhraj bagi mengelak menimbulkan syak.

“Jantung saya berdegup 100,000 kali lebih laju namun dia tidak perasan,” sehingga kini, Gires masih mengingati Sobhraj, dan ketakutan masih mengekorinya.

- PIHAK POLIS –

Sompol Suthimai kini berusia 90 tahun, namun memori kes “paling menarik” dia masih segar dalam ingatan.

Sebagai seorang anggota polis Thai bertugas dengan Interpol, dengan tekanan daripada Knippenberg, Bangkok Post telah menyiarkan gambar-gambar pelancong yang dibunuh.

“Saya berkata kepada diri sendiri: bagaimana mungkin sangat ramai orang dibunuh namun tidak diketahui pihak polis?” kata Sompol.

Dia bergegas ke Bangkok untuk bertemu Knippenberg, dan ahli diplomat itu menghulurkan Sampol bukti-bukti yang telah dikumpul bersama Gires, diari dan tiket penerbangan mangsa yang ditemui di kediaman Sobhraj.

Namun Sobhraj berjaya melarikan diri dari negara tersebut beberapa hari sebelumnya. Sompol mengeluarkan waran tangkap antarabangsa.

Sobhraj dicekup di New Delhi pada Julai 1976 dan menghabiskan dua dekad dalam penjara India atas kesalahan pembunuhan dan memberi dadah serta merompak pelancong.

Dia pulang ke Perancis selepas dibebaskan dan tinggal di sana sehingga 2003 sebelum kembali ke Nepal, di mana dia dipenjarakan untuk atas dua pembunuhan, dan masih dipenjarakan sehingga kini.

- PENULIS –

Dari penjaranya, Sobhraj menjual kisahnya kepada sebuah syarikat penerbitan, dan pada Julai 1977 penulis Australia Julie Clarke dan Richard Neville telah bertemunya.

“Kami pernah melalui perjalanan hippie juga, oleh itu kami obses dengan kes ini,” kata Clarke.

Dalam beberapa kali pertemuan mereka, Clarke menjelaskan Sobhraj mengimbau kembali pembunuhan dengan butiran yang menggerunkan.

Dia menggambarkan menyimbah petrol kepada seorang pemuda Belanda dan membakarnya selepas memukulnya.

“Dia benci akan penggembara, dan melihat mereka sebagai penagih dadah muda yang miskin. Dia menganggap dirinya sebagai hero penjenayah,” kata Clarke.

Buku Clarke dan Neville, ‘On the Trail of the Serpent’, mendapat jualan terbaik dan asas kepada siri TV itu.

Beberapa bulan meluangkan masa bersama pembunuh bersiri telah meninggalkan Clarke dengan “memori traumatik”.

“Kami mengalami mimpi buruk. Dari penjaranya, dia menulis surat dan mengarahkan kami.

“Dia juga telah mengarahkan orang untuk memerhati kami. Sekiranya kamu seorang pelajar yang menggembara dalam jejak hippie, bagaimana mungkin kamu tidak mempercayai lelaki yang menganuti Buddha dan Hindu, yang membincangkan Nietzsche dan memberi kamu petunjuk tempat tinggal?” katanya.

Kehidupan bebas buat Sobhraj sudah jauh dari jangkauannya, dan gabenor penjara Nepal menyatakan dia akan meninggal dalam penjara.

Namun Clarke berkata kecekalan dia untuk hidup amat luar biasa, ketika dalam penjara dia telah berjaya menjalani pembedahan jantung terbuka. — AFP

Advertisement