Anda di sini

13 nelayan asing direman 14 hari

Advertisement
 

MIRI: Seramai 13 orang nelayan warga asing yang ditangkap dalam dua kes berasingan apabila disyaki menangkap ikan secara haram di perairan negara diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman 14 hari.
    
Kesemua suspek yang berusia antara 22 hingga 46 tahun dan berasal dari Vietnam diperintahkan menjalani reman itu di lokap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengikut peruntukan Seksyen 47D Akta Perikanan 1985 (Akta 317).
    
Dalam permohonannya bagi kes pertama, pegawai penyiasat Leftenan Madya (M)Allyson Linggie Michael Merom memberitahu sekitar jam 1.55 petang, 28 Jun lalu, sepasukan anggota APMM dengan menaiki Kapal Maritim Stapa (KM Stapa) yang melakukan rondaan di kawasan perairan Miri telah menahan sebuah kapal nelayan asing dalam keadaan mencurigakan.
    
Ketika ditahan, kapal bersama tujuh orang kru berusia antara 24 hingga 46 tahun itu sedang berada pada kedudukan 39 batu nautika dari Tanjong Lobang.
   
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ketujuh-tujuh kru terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit sah untuk menangkap ikan di kawasan perairan perikanan Malaysia.
   
Berikutan itu, mereka telah ditangkap untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.
    
Sementara dalam kes kedua, Allyson memberitahu sekitar jam 2.45 petang hari sama, pasukan penguatkuasa yang sama telah menahan sebuah lagi kapal nelayan asing bersama enam orang kru warga Vietnam.
    
Ketika ditahan, kapal berkenaan sedang berada pada kedudukan 36 batu nautika dari Tanjung Lobang.
    
Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati kesemua enam anak kapal terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah selain tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan di perairan negara.
    
Mereka kemudian ditangkap untuk disiasat lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.
    
Di hadapan mahkamah, Allyson berkata reman selama 14 hari ke atas kesemua suspek amat diperlukan untuk membolehkan mereka melengkapkan kertas siasatan.
    
Ini termasuk mendapatkan pengesahan pakar pukat dan fizikal kapal dari Jabatan Perikanan Laut Kuching serta Sijil Laluan Pelayaran dan makluman memasuki Perairan Perikanan Malaysia dari Jabatan Perikanan Malaysia.    
    
Penolong Kanan Pendaftar Eleanor Mako Timothy membenarkan permohonan reman 14 hari ke atas kesemua suspek sehingga 13 Julai ini.

  • oleh
  • Advertisement