Anda di sini

Tiada tanda anafilaksis pada wanita meninggal selepas divaksin

Advertisement

KUCHING: Penemuan awal prosedur bedah siasat ke atas seorang wanita yang meninggal dunia selepas mendapat suntikan vaksin COVID-19 di Miri mendapati terdapat tanda-tanda serangan jantung berlaku dua atau tiga hari sebelum kematian.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapain Mohamed dalam kenyataannya hari ini, berkata laporan bedah siasat juga mendapati tiada tanda-tanda anafilaksis akibat pengambilan vaksin ditemui.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan satu kejadian kematian di Hospital Miri pada 26 Jun 2020. Kes tersebut telah mendapat perhatian apabila dilaporkan meninggal dunia selepas mendapat suntikan vaksin COVID-19.

"Namun demikian, prosedur bedah siasat telah dijalankan terhadap kes tersebut pada 27 Jun 2021 dan penemuan awal bedah siasat mendapati adanya tanda-tanda serangan jantung telah berlaku dua atau tiga hari sebelum kematian," jelasnya.

Dr Mohamed berkata kes kematian tersebut yang membabitkan seorang wanita berumur 57 tahun itu masih dalam siasatan Hospital Miri dan sedang menunggu keputusan daripada ujian-ujian dijalankan selanjutnya.

Tambahnya, wanita terbabit mempunyai sejarah ko-morbid penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Setelah melaksanakan saringan awal dan persediaan termaklum, individu terbabit telah menerima suntikan vaksin pada 26 Jun 2021 pukul 9.20 pagi di pusat pemberian vaksin awam Hospital Miri. 

"Ketika dalam pemantauan, di Zon Pemerhatian selepas divaksinasi, individu tersebut mengadu loya, kesejukan dan muntah pada jam 9.30 pagi dan beliau telah segera dirawat di Zon Resusitasi oleh Pakar Perubatan Kecemasan," jelasnya.

Bagaimanapun menurut Dr Mohamed, keadaan kesihatan wanita terbabit terus merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Kecemasan Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau memberitahu rawatan kecemasan diberi secara berterusan selama 40 minit namun wanita berkenaan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.10 pagi.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan mendapatkan maklumat rasmi dari sumber yang disahkan.

  • oleh
  • Advertisement