Anda di sini

Berrettini lakar nama dalam dunia tenis

Advertisement
 Berrettini menjulang trofi sulung kejuaraan ATP Queens selepas menewaskan Norrie pada final di London. — Gambar AFP
DETIK BERSEJARAH: Berrettini menjulang trofi sulung kejuaraan ATP Queens selepas menewaskan Norrie pada final di London. — Gambar AFP

LONDON: Pemain pilihan pertama kejohanan, Matteo Berrettini menjadi pemain Itali pertama sejak Boris Becker pada 1985 yang muncul juara kejohanan ATP Queen selepas menewaskan pemain tuan rumah, Cameron Norrie 6-4, 6-7(5/7) dan 6-3 pada Ahad.

Pemain berusia 25 tahun dari Itali itu mungkin tewas set pertama beliau minggu ini tetapi kelebihan 19 pukulan servis kencang memastikan kejuaraan ATP yang kelima dalam kerjayanya.

“Ini adalah trofi yang hebat dengan segala penghormatan kepada pemain lain yang pernah memenanginya,” kata Berrettini.

“Ia merupakan minggu yang luar biasa jika saya memikirkan tentang nama Boris Becker dan nama saya dalam senarai yang sama, ia sememangnya gila.

“Saya mengimpikan untuk bermain pada kejohanan ini ketika saya menontonnya ketika masih kecil.”

Berrettini, yang berada pada ranking kesembilan dunia dan salah seorang dari 10 pemain Itali dalam senarai 100 pemain terbaik dunia, memberikan pujian kepada lawannya.

“Beliau pemain yang hebat. Kami tidak pernah bertemu sebelum ini tetapi beliau menunjukkan bahawa beliau boleh bermain di semua permukaan pada tahun ini.

“Hari ini, saya gembira dengan diri saya. Dalam rali, Norrie sangat berbahaya, jadi ia penting untuk memberi fokus kepada servis saya.”

Berrettini juga pemain Itali pertama yang memenangi kejohanan di sini.

Norrie akan naik ke ranking ke-34 dunia dan menerima kekalahan dengan tabah.

“Pujian kepada Matteo, beliau terlalu bagus hari ini dan bermain lebih baik pada mata penting. Anda mempunyai kerjaya yang hebat,” kata beliau. — AFP

Advertisement