Anda di sini

‘Kumpulan Maut’ masih bersaing

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Euro 2020 Kumpulan F di antara Portugal dan Jerman di Allianz Arena di Munich. Jerman menang 4-2. — Gambar AFP
SAINGAN MASIH TERBUKA: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Euro 2020 Kumpulan F di antara Portugal dan Jerman di Allianz Arena di Munich. Jerman menang 4-2. — Gambar AFP

MUNICH: Jerman mengembalikan semula cabaran mereka di Euro 2020 dan membuka semula saingan Kumpulan F apabila membenam Portugal 4-2 di Munich pada Sabtu.

Dengan Perancis seri 1-1 menentang Hungary pada perlawanan awal di Budapest, kemenangan Jerman bermakna saingan untuk kelayakan ke pusingan 16 akhir masih terbuka kepada semua pasukan menjelang perlawanan terakhir pada Rabu depan di mana Jerman akan menentang Hungary dan Perancis  menentang juara bertahan kejohanan, Portugal.

“Secara keseluruhannya, ia adalah aksi yang hebat: sikap dan moral pasukan yang hebat,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

Selepas Cristiano Ronaldo menjaringkan gol antarabangsa yang ke-107, menyebabkan beliau kurang dua gol dari rekod sepanjang zaman miliki penyerang Iran, Ali Daei, untuk meletakkan Portugal di hadapan pada awal permainan, Jermain bangkit dengan empat gol.

Asakan Jerman memaksa dua gol sendiri oleh Ruben Dias dan Raphael Guerreiro untuk meletakkan Jerman 2-1 di hadapan pada masa rehat.

Kai Havertz menjaringkan gol ketiga Jerman sebelum Robin Gosens melengkapkan aksi cemerlang selaku pemain terbaik perlawanan dengan gol keempat Jerman.

Portugal merapatkan kedudukan apabila Diogo Jota menyempurnakan hantaran Ronaldo untuk kedudukan 4-2 ketika berbaki 23 minit.

Jerman terus mengawal permainan dan menewaskan Portugal untuk kali kelima berturut-turut pada kejohanan Piala Dunia dan Euro sejak Euro 2000.

“Jerman adalah pasukan yang lebih bagus dan saya bertanggungjawab di atas kekalahan ini tetapi sama ada kami boleh meneruskan kemaraan atau tidak, ia bergantung kepada diri kami dan cara kami memberi respons,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

Jerman mencipta lebih banyak peluang berbanding ketika tewas 0-1 kepada Perancis sementara Portugal kurang rentak berbanding ketika menewaskan Hungary 3-0 pada perlawanan pertama.

Perlawanan bermula dengan pantas dalam cuaca panas di Munich.

Jerman ada menjaringkan gol pada minit kelima  tetapi panel video bantuan pengadil (VAR) mengesan Serge Gnabry berkedudukan ofsaid ketika Gosens merembat bola ke pintu gol.

Bagaimanapun, kealpaan benteng Jerman membolehkan Portugal membuka jaringan.

Dengan Gosens dan Havertz bertahan ketika Jerman mengambil sepakan penjuru, Bernardo Silva memulakan serangan pantas dan kemudian mengumpan bola kepada Jota yang membawa bola sehingga masuk ke kotak penalti sebelum melorong kepada Ronaldo untuk menjaringkan gol.

Ia adalah gol pertama Ronaldo ketika menentang Jerman, sekali gus menambah rekod gol beliau di Euro kepada 12 gol setakat ini.

Bagaimanapun, dua gol sendiri dalam tempoh empat minit menyentak keyakinan Portugal.

Jerman mengikat kedudukan apabila satu volley Gosens yang sepatutnya kepada Havertz, bagaimanapun terkena Dias dan menewaskan penjaga golnya sendiri, Rui Patricio pada minit ke-35 sebelum gol sendiri kedua menyusul apabila Guerreiro tertolak hantaran lintang Joshua Kimmich ke pintu golnya sendiri.

Gosens mengucar-kacir pertahanan Portugal hampir sepanjang perlawanan dan hantaran lintang beliau disempurnakan Havertz enam minit selepas rehat untuk gol ketiga.

Pemain kelab Atalanta itu kemudian melengkapkan aksi cemerlang beliau dengan menanduk satu hantaran Kimmich untuk gol keempat Jerman selepas sejam perlawanan.

Beliau kemudian dikeluarkan dengan penyokong Jerman menyanyi nama beliau bagi menghargai sumbangannya.

Portugal merapatkan kedudukan apabila tendangan percuma Guerriero ditanduk Ronaldo kepada Jota untuk melakukan penyudah.

Jerman hampir menjaringkan gol kelima apabila pengganti Havertz, Leon Goretzka, gagal melakukan rembatan kemas pada lewat permainan.

Ini adalah kali pertama Portugal bolos empat gol sejak tewas 0-4 kepada Jerman di Piala Dunia 2014. — AFP

Advertisement