Anda di sini

Hanya kemenangan ke atas Slovakia penyelamat Sepanyol

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Euro 2020 Kumpulan E di antara Sepanyol dan Poland di Stadium La Cartuja di Sevilla. — Gambar AFP
TUMPUAN: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Euro 2020 Kumpulan E di antara Sepanyol dan Poland di Stadium La Cartuja di Sevilla. — Gambar AFP

SEVILLE: Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, mengakui beliau menjangkakan yang lebih bagus lagi dari pasukannya di Euro 2020 selepas seri 1-1 dengan Poland pada Sabtu, menyebabkan mereka semakin bergelut untuk melangkah ke pusingan 16 akhir kejohanan.

Gerard Moreno gagal menyempurnakan satu tendangan penalti dan Alvaro Morata mensia-siakan bola muntah ketika Sepanyol terus tumpul di jentera serangan, dengan tandukan Robert Lewandowski membolehkan Poland mengutip satu mata berharga di Seville.

Selepas seri tanpa jaringan menentang Sweden pada perlawanan pertama, Sepanyol kini berada di tangga ketiga Kumpulan E dan mungkin perlu menewaskan Slovakia pada perlawanan terakhir Rabu depan untuk mengelak tersingkir awal dari kejohanan.

“Saya menjangkakan lebih banyak lagi,” kata Luis Enrique. “Saya menjangkakan enam mata dan tanpa bolos tetapi itulah hakikatnya.

“Kami akan mengharungi perlawanan penting selepas ini dan jika mahu meneruskan kemaraan, kami perlu menang. Jika kami menang, kami mara, jika tidak, kami akan tersingkir, itulah realitinya.”

Morata menolak bola dari jarak dekat untuk meletakkan Sepanyol di hadapan tetapi gol ke-60 Lewandowski musim ini membolehkan Poland mengikat kedudukan sebelum Moreno gagal menyempurnakan penaltinya.

Dan ejekan kepada Morata ketika menentang Sweden minggu lepas, kini menjadi ejekan kepada keseluruhan pasukan Sepanyol pada akhir perlawanan.

Poland sementara itu meraikan keputusan itu seperti kemenangan bersama penyokong selepas perlawanan dengan gol Lewandowski mengekalkan harapan pasukan untuk meneruskan kemaraan.

“Jika ia pertarungan tinju, kami boleh menang dengan kiraan mata tetapi Poland juga boleh menang,”  kata Luis Enrique.

Luis Enrique memberikan sokongan padu kepada Morata Jumaat lepas ketika berkata pasukan akan memerlukan “Morata dan 10 pemain lain”.

Tetapi beliau juga menggantikan Ferran Torres dari kesebelasan utama dengan Moreno, penyerang kelab Villarreal yang menjaringkan 23 gol musim lepas, di tangga kedua di belakang Lionel Messi dalam senarai penjaring terbanyak La Liga Sepanyol.

Saat terbaik Morata hadir pada minit ke-25 dan ia mungkin gol mudah kerana beliau berada pada kedudukan sempurna untuk menolak bola umpanan Moreno dari jarak dekat tetapi penjaga garisan mengangkat benderanya dengan pemain Sepanyol kelihatan menerima hakikat bahawa gol itu akan dibatalkan namun gol itu dibenarkan, menyebabkan Jordi Alba memeluk Morata untuk meraikan gol.

Morata juga berlari ke arah Luis Enrique untuk meraikan gol itu bagi mengucapkan terima kasih kerana terus memberi kepercayaan kepadanya.

Lewandowski menebus kegagalannya sembilan minit selepas apabila melepasi kawalan Aymeric Laporte untuk menanduk bola ke pintu gol.

Sepanyol mempunyai satu lagi peluang terbaik apabila cubaan Torres diselamatkan Szczesny sebelum Poland berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat. — AFP

Advertisement