Anda di sini

Berrettini mara ke final Kejohanan ATP Queens

Advertisement
 Berrettini semasa menentang lawannya, Alex de Minaur pada perlawanan separuh akhir Kejohanan ATP Queens di London. — Gambar AFP
MENINGKAT NAIK: Berrettini semasa menentang lawannya, Alex de Minaur pada perlawanan separuh akhir Kejohanan ATP Queens di London. — Gambar AFP

LONDON: Pemain pilihan pertama kejohanan, Matteo Berrettini berkata beliau berharap beliau tidak tidur terlalu lena menjelang final Kejohanan ATP Queens di sini selepas menewaskan Alex de Minaur 6-4 dan 6-4 pada perlawanan separuh akhir pertama pada Sabtu.

Pemain berusia 25 tahun dari Itali itu masih belum tewas satu set pada penampilan sulungnya di Queens dan walaupun De Minaur, pemain nombor satu Australia memberikan saingan yang kuat, beliau ternyata terlalu bagus untuk lawannya.

Berrettini sudah menewaskan dua pemain tuan rumah untuk melangkah ke final – Andy Murray dan Dan Evans – dan perlu menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Cameron Norrie jika mahu menjulang trofi kejohanan.

Norrie, pemain kelahiran Afrika Selatan berusia 25 tahun, menewaskan pilihan kedua kejohanan dari Kanada, Denis Shapovalov 7-5 dan 6-3.

Pendahuluan awal untuk Berrettini pada set pertama ketika menentang De Minaur, pilihan keempat kejohanan, memberikan keyakinan dan pada kedudukan 4-4 pada set kedua sudah memadai untuk mengesahkan tempat ke final pada  kejohanan persediaan untuk kejohanan Grand Slam Wimbledon.

“Sasaran minggu ini ialah untuk memenangi kejuaraan,” kata Berrenttini.

“Ada satu lagi perlawanan, apa yang pasti untuk mencapai sasaran itu tetapi melangkah ke final adalah satu pencapaian hebat dengan sejarah kejohanan ini.

“Saya harus bermain di tahap terbaik untuk menewaskan Alex.”

Berrettini – yang berada dalam prestasi memberangsangkan dan tiba pada kejohanan ini selepas melangkah ke peringkat suku akhir di Terbuka Perancis – memenangi kejohanan Terbuka Serbia tahun ini dan pernah  melangkah ke final kejohanan Siri Master Madrid.

Beliau hanya tersenyum apabila ditanya jika beliau tidur lena sehari sebelum final.

“Jika saya tidur terlalu lena, maka ada sesuatu yang tidak betul,” katanya.

“Saya perlu berasa gemuruh untuk mengangkat semangat saya. Saya berharap saya mempunyai cukup tidur.”

Norrie akan mengintai peluang menjadi pemain Britain kedua yang memenangi kejohanan di sini sejak Perang Dunia Ke-II – selepas Murray memenanginya untuk rekod lima kali.

“Saya berasa sangat gembira untuk melangkah ke final,” kata Norrie.

“Ini adalah masa yang sangat penting dan salah satu pencapaian terbesar saya setakat ini.” — AFP

Advertisement