Anda di sini

Saingan Kumpulan D masih terbuka

Advertisement
 Babak aksi perlawanan Euro 2020 Kumpulan D di antara England dan Scotland di Stadium Wembley di London. — Gambar AFP
SENGIT: Babak aksi perlawanan Euro 2020 Kumpulan D di antara England dan Scotland di Stadium Wembley di London. — Gambar AFP

LONDON: England tidak berjaya meraih tiket awal ke pusingan 16 akhir Euro 2020 semalam apabila Scotland mengikat seri tanpa jaringan dengan pasukan musuh lama mereka manakala finalis Piala Dunia Croatia harus berusaha lagi untuk mara.

Dalam perlawanan lain, Sweden melangkah ke peringkat seterusnya dengan kemenangan 1-0 ke atas Slovakia. Pemain tengah Denmark Christian Eriksen telah keluar dari hospital enam hari selepas mengalami serangan jantung.

England menentang Scotland di Wembley buat kali ke-100 namun hanya kali kedua dalam kejohanan besar, 25 tahun selepas mereka bersemuka pada Euro 1996.

Sungguhpun hanya 2,500 orang penyokong Scotland daripada 22,500 penonton, kehadiran penyokong pasukan itu dirasai dalam hujan yang turun.

England, yang telah mengalahkan Croatia 1-0 dalam perlawanan pembukaan kejohanan, tahu bahawa kemenangan ke atas lawan lama mereka itu akan mengunci kedudukan mereka ke peringkat seterusnya dengan baki satu perlawanan.

Namun Scotland kental dan mengikat skuad Gareth Southgate dengan 0-0.

Dalam perlawanan awal, Croatia meraih mata pertama mereka dengan seri 1-1 menentang Republik Czech di Glasgow namun kapten pasukan Luka Modric masih kecewa dengan prestasi skuad.

Sepakan penalti penyerang Czech Patrik Schick  memberi mereka pendahuluan awal dalam pada mengejar Golden Boot dengan gol ketiga kejohanan beliau, tetapi asakan hebat Perisic pada minit ke-47 meraih seri buah Croatia.

Bagaimanapun, pasukan tempat kedua Piala Dunia 2018 itu perlu menewaskan Scotland pada Rabu dengan harapan keputusan menyebelahi mereka untuk mara daripada peringkat penyingkiran.

“Perasaan perit hadir selepas perlawanan berakhir, kerana kami tidak menang. Kami turun padang tidak terurus. Kami bermain lebih baik pada separuh masa kedua. Kami menjaringkan gol namun mampu menjaringkan lebih banyak, tetapi malangnya kami tidak. Kini, kami harus menumpaskan Scotland untuk mara,” kata Modric.

Czech dan England akan bertembung Rabu, kedua-duanya dengan empat mata dalam Kumpulan D, dengan Scotland dan Croatia masing-masing dengan satu mata.

Slovakia membazirkan peluang mereka untuk mara ke 16 akhir dengan satu perlawanan baki selepas tewas kepada Sweden di Saint Petersburg yang berjaya duduk di slot teratas selepas mengalahkan pasukan lawan itu.

Skuad Sweden telah dikritik teruk ke atas cara pertahanan-ultra ketika perlawanan pembukaan, seri tanpa gol dengan Sepanyol, tetapi anak buah Janne Andersson bermain dengan bersemangat pada Jumaat.

Sepakan penalti Emil Forsberg semasa 13 minit sebelum tamat perlawanan menghadiahkan Sweden kemenangan lantas memberi mereka 4 mata, berkelebihan satu daripada  pasukan kedua Slovakia.

Spain duduk di tangga ketiga dalam kumpulan itu dengan satu mata sebelum perlawanan menentang Poland hari ini (Ahad), didorong dengan kepulangan kapten Sergio Busquets ke skuad Luis Enrique selepas keputusan negatif COVID-19.

Selain itu, pemain Denmark Eriksen telah keluar dari hospital setelah ‘pembedahan berjaya’ hampir seminggu selepas mengalami serangan jantung menentang Finland.

Para doktor menjelaskan bahawa Eriksen, 29, akan dipasang dengan defibrilator jantung untuk mengawal degupan jantung, menimbulkan keraguan sama ada beliau masih mampu bermain lagi.

“Pembedahan itu berjaya, dan saya berasa baik-baik sahaja kini. Terima kasih atas ucapan yang banyak, ia amat mengagumkan untuk melihat dan merasainya,” ucap Eriksen dalam sebuah kenyataan. — AFP

Advertisement