Anda di sini

Kes bunuh wartawan Mexico, bekas datuk bandar dipenjara lapan tahun

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan foto Breach semasa upacara menandakan ulang tahun kedua pembunuhannya                    di Ciudad Juarez, negeri Chihuahua, Mexico. — Gambar AFP
KENANGAN: Gambar fail menunjukkan foto Breach semasa upacara menandakan ulang tahun kedua pembunuhannya di Ciudad Juarez, negeri Chihuahua, Mexico. — Gambar AFP

KOTA MEXICO: Bekas datuk bandar di Mexico telah dipenjarakan selama lapan tahun atas penglibatannya dalam pembunuhan wartawan Miroslava Breach pada 2017, kata pendakwa raya kelmarin.

Mahkamah di negara tersebut menjatuhkan hukuman pada Selasa terhadap Hugo Amed Shultz, bekas datuk bandar Chinipas yang telah ditahan pada Disember.

Dia diarahkan untuk membayar denda dan memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa atas peranannya sebagai rakan subahat.

Penyiasat berkata Shultz, ahli Parti Tindakan Nasional (PAN), telah menyalurkan maklumat kepada kumpulan jenayah terancang yang melakukan pembunuhan itu, dan dia telah menerima kecaman antarabangsa.

Juan Carlos Moreno, juga dikenali sebagai “El Larry,” telah disabit kesalahan sebagai “perancang intelektual” pembunuhan tersebut serta dihukum penjara 50 tahun pada Ogos lepas.

Mexico sering dinilai oleh Reporters Without Borders sebagai salah sebuah negara paling berbahaya di dunia untuk wartawan.

Breach, yang membuat liputan mengenai pertempuran dadah di negara itu, adalah seorang daripada 100 wartawan yang terbunuh di Mexico sejak 2000.

Kebanyakan pelaku masih tidak dihukum.

Breach, 54, wartawan veteran jenayah dan politik, telah ditembak di kepala sebanyak lapan kali pada 23 Mac, 2017.

Tugas beliau merangkumi laporan tentang ahli geng yang ingin menjadi calon pilihan raya.

Menurut Propuesta Civica, sebuah organisasi bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, Shultz sudah memohon maaf di mahkamah serta meng-ucapkan takziah kepada rakan sekerja dan ahli keluarga Breach.

“Saya mengakui peranan saya telah menjejaskan hak asasi Miroslava serta saya menyesali akibatnya. Ketiadaan Miroslava Breach sebagai suara kritikal dalam bidang kewartawanan telah menafikan hak rakyat kepada maklumat awam,” katanya.

Pada 2018, PBB, AFP dan lain-lain telah menubuhkan sebuah anugerah untuk menghargai wartawan yang meletakkan risiko kepada nyawa mereka demi meliputi penindasan hak asasi manusia di Mexico, sebagai peringatan kepada Breach serta wartawan seorang yang terbunuh, Javier Valdez. - AFP

Advertisement