Anda di sini

Penduduk PKPD di Nabawan terima bantuan bakul makanan

Advertisement
 Arthur (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada wakil penduduk Kampung Indah yang menjalani PKPD.
PRIHATIN: Arthur (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada wakil penduduk Kampung Indah yang menjalani PKPD.

NABAWAN: Seramai 327 Ketua Isi Rumah (KIR) dari tiga lokaliti di daerah ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan bakul makanan daripada Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) ini berkata, bantuan bakul makanan itu bagi meringankan beban penduduk yang terlibat PKPD.

Katanya, pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan menyebabkan penduduk yang terlibat tidak dapat keluar untuk bekerja  dan membeli barangan keperluan.

"Dalam tempoh begini, kita perlu memastikan penduduk terlibat mempunyai bekalan makanan mencukupi. Saya juga memohon kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Nabawan untuk melihat keperluan penduduk terutamanya bagi kawasan yang dikenakan PKPD.

"Saya ingin mengajak semua pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama membantu dalam menghulurkan sumbangan ini.

"Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang turut  menyediakan bakul makanan kepada penduduk yang terkesan," katanya di sini.

Arthur turut menyeru semua pihak untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menasihatkan penduduk untuk terus berada di rumah.

Langkah itu katanya, bagi mengurangkan pergerakan dan hanya keluar sekiranya mempunyai keperluan yang penting.

"Kita perlu kembali mengekalkan daerah Nabawan sebagai zon hijau seperti yang pernah dicapai sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Arthur mahu semua penduduk untuk memberi sokongan kepada usaha kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, pelaksanaan pelan berkenaan adalah penting bagi mengurangkan jangkitan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Arthur sebelum itu ditemui media ketika menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Murni C, Kampung Indah dan Kampung Pulutan yang dikenakan PKPD. 

Turut hadir, Pegawai Daerah Nabawan Peter Jonu Moinjil dan Pegawai Kebajikan Daerah Nabawan Andy Fatmal Mohamad Ikhsan.
 

  • oleh
  • Advertisement