Anda di sini

Kerjasama tuai rumah, JKKK lancarkan pengagihan bantuan bekalan makanan

Advertisement
 Penghantaran bantuan makanan melalui sungai dengan perahu panjang ke beberapa rumah panjang di pedalaman kawasan DUN Kemena.
UNTUK PENDUDUK: Penghantaran bantuan makanan melalui sungai dengan perahu panjang ke beberapa rumah panjang di pedalaman kawasan DUN Kemena.

SEBAUH: Kerjasama daripada tuai-tuai rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah banyak membantu menjimatkan masa penghantaran dan melancarkan agihan Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang ke setiap rumah panjang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena, terutamanya di pedalaman.

Penghantaran bantuan menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke beberapa rumah panjang, manakala perahu panjang digunakan bagi lokasi yang tiada perhubungan jalan darat.

Bantuan telah diserahkan kepada 765 ketua isi rumah (KIR) dari 62 rumah panjang di kawasan Sungai Segaman Pandan, Batang Pandan, Kuala Binyo, Ulu Binyo dan kawasan Sungai Selezu Pandan pada Khamis lalu.

Pengagihan bantuan makanan ini meliputi dua peringkat dengan menggunakan jalan ladang ke kawasan hulu Binyo dan jalan balak yang mengambil masa dua jam setengah dari Sebauh ke Bukit Mawang Binyo.

Seterusnya dari Bukit Mawang, bantuan dihantar melalui sungai dengan menggunakan perahu ke tujuh rumah panjang hulu Binyo.

Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 yang diumum Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah dihantar ke kawasan penempatan DUN Kemena dengan harapan penduduk tidak terputus bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Advertisement