Anda di sini

Singapura lapor 4 kes keradangan jantung seleps dos kedua vaksin COVID-19 mRNA

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

SINGAPURA: Singapura melaporkan empat kes melibatkan lelaki berusia antara 18 hingga 30 tahun dijangkiti "miokarditis dan perikarditis" seleps menerima dos kedua vaksin COVID-19 mRNA. 

"Ini diluar jangkaan untuk kumpulan usia ini, berdasarkan latar belakang purata kejadian.

"Sebilangan besar kes dilaporkan berlaku beberapa hari selepas menerima dos kedua vaksin. Semuanya pulih atau dibenarkan keluar hospital," kata Jawatankuasa Pakar Vaksinasi COVID-19 dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, menurut jawatankuasa itu sementara kajian dan penyelidikan lebih lanjut sedang dibuat, data sedia ada menunjukkan mungkin terdapat "risiko sangat kecil" miokarditis dan perikarditis selepas menerima dos kedua vaksin mRNA, terutama kepada lelaki muda.

Miokarditis ialah keradangan otot jantung manakala perikarditis keradangan pada tisu perikardium.

"Ia lebih kerap terjadi terhadap lelaki berbanding wanita. Pesakit akan mengalami gejala seperti sakit dada, sesak nafas atau degupan jantung yang tidak normal.

"Sebilangan besar kes ringan, selalunya ia akan sembuh sepenuhnya tanpa memberikan kesan jangka panjang, jarang berlaku kes sehingga boleh mengakibatkan kerosakan pada otot jantung," jelas jawatankuasa itu. 

Sebagai langkah berjaga-jaga, jawatankuasa berkenaan mengesyorkan mereka yang menerima vaksin itu, khususnya remaja dan lelaki muda, elak daripada melakukan aktiviti fizikal berat selama seminggu selepas disuntik dos kedua. 

Jawatankuasa menyatakan selain meneliti data sedia ada, pihaknya turut  memantau rapat laporan antarabangsa mengenai keadaan itu termasuk di Amerika Syarikat (AS) yang membabitkan lelaki di bawah usia 25 tahun.

"Risiko dianggarkan 1.6 kes per 100,000 dos untuk vaksin mRNA di AS, sama seperti risiko anafilaksis yang dipantau di Singapura. 

"Sehingga kini, tiada peningkatan risiko miokarditis dan perikarditis selepas dos vaksin pertama," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement