Anda di sini

Loew hampiri hari-hari terakhir bersama Jerman

Advertisement
 Skuad Jerman menjalani latihan menjelang Kejohanan Euro 2020 di pusat latihan di Seefeld, Austria. — Gambar AFP
GIGIH: Skuad Jerman menjalani latihan menjelang Kejohanan Euro 2020 di pusat latihan di Seefeld, Austria. — Gambar AFP

HERZOGENAURACH: Ketika beliau membuat persediaan untuk kejohanan terakhirnya selepas 15 tahun menjadi jurulatih kebangsaan Jerman, Joachim Loew menegaskan beliau melihat petanda bahawa skuadnya boleh melupakan kegagalan mereka sebelum ini.

Dalam satu temu bual dengan agensi berita Jerman, SID di kem latihan skuad Euro 2020 di Herzegenaurach, Loew mengimbangi keyakinan dalam tugas kejurulatihan sedia ada dengan sikap berhati-hati tentang tugas yang dihadapi pasukannya.

Loew membimbing Jerman muncul juara Piala Dunia 2014 di Brazil tetapi gagal mempertahankan kejuaraan pada Piala Dunia 2018 di Rusia apabila tersingkir di pusingan pertama selaku pasukan tercorot.

Lewat pada tahun yang sama, mereka menamatkan saingan kelayakan Liga Negara UEFA di tangga tercorot kumpulan.

Pada bulan November, Jerman dimalukan 0-6 oleh Sepanyol, sekali lagi dalam Liga Negara UEFA dan tewas 1-2 pada bulan Mac di tempat sendiri kepada pasukan baharu Eropah, Macedonia Utara pada perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Mereka tercicir ke ranking ke-12 dunia dan diundi dalam kumpulan maut di kejohanan tertangguh Euro 2020 bersama-sama juara bertahan, Portugal dan juara dunia, Perancis.

Jerman akan memulakan kempen Euro 2020 mereka menentang Perancis pada 15 Jun di Munich, dan kemudian menanti Portugal pada 19  Jun dan menamatkan perlawanan pusingan pertama menentang Hungary pada 23 Jun.

Loew memuji Perancis sebagai “pasukan paling fleksibel di dunia” dengan “pemain individu yang hebat” dan berkata “Portugal mempunyai jentera serangan yang hebat.”

“Jika tumpuan anda tidak sentiasa di kemuncak, mereka akan mengeksploitasi anda tanpa belas ehsan,” kata beliau.

Namun, Loew berkata beliau merasai satu sikap yang lebih baik berbanding kempen malapetaka 2018.

“Suasana dalam pasukan adalah berbeza,” kata Loew.

“Dahulu ada rasa keberatan dalam pasukan tetapi saya tidak merasainya sekarang.”

“Berbeza dari dahulu: suasana dalam pasukan sangat bagus.” Beliau menambah: “Pemain sangat bercita-cita dan mereka mahu berjaya.”

Loew berkata beliau akan memulakan kejohanan terakhirnya tanpa bersikap sentimental.

“Setiap kejohanan adalah istimewa bagi saya,” kata beliau.

“Saya tidak mempunyai motivasi khas atau berasa emosi kerana ia adalah kejohanan terakhir.

“Saya sekarang memberikan sepenuh fokus kepada kejohanan dan untuk membuat persediaan sebaik mungkin. Saya menikmatinya, merasai banyak tenaga, tidak sabar untuk bermula.”

Bagi Loew, 2014 adalah penanda aras.

“Petanda pertama ialah bagus juga kali ini,” kata Loew. “Tetapi kami harus membuktikannya dalam kejohanan ini dan mengharunginya setiap hari seperti hari yang baharu.

“Semua orang bersemangat, menyedari kesilapan, berkomunikasi dengan baik dan mentaliti ini harus dikembangkan sepanjang kejohanan, sama seperti pada 2014.”

“Pada awalnya, ada cara yang pemikiran atau perbincangan yang berbeza tentang sistem permainan tetapi pada akhirnya, semua pemain mahu memenangi kejuaraan.” — AFP

Advertisement