Anda di sini

Hargai peluang diberikan

Advertisement
 Skuad kebangsaan England menjalani latihan di Stadium St. George’s Park menjelang Kejohanan Euro 2020 di Burton-upon-Trent. — Gambar AFP
PERSEDIAAN: Skuad kebangsaan England menjalani latihan di Stadium St. George’s Park menjelang Kejohanan Euro 2020 di Burton-upon-Trent. — Gambar AFP

BURTON-ON-TRENT: Jack Grealish percaya perbualan bersemuka dengan jurulatih England, Gareth Southgate pada awal musim adalah satu inspirasi yang beliau perlukan untuk menempatkan diri dalam skuad England ke kejohanan tertangguh Euro 2020.

Kapten kelab Aston Villa itu menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, menyebabkan spekulasi beliau akan berpindah ke kelab juara liga, Manchester City.

Southgate pada awalnya kelihatan keberatan untuk memanggil Grealish ke dalam skuad kebangsaan, menangguhkan penampilan sulungnya sehingga bulan September.

Tetapi pemain berusia 25 tahun itu mendedahkan beliau mengadakan pertemuan selama satu jam dengan Southgate semasa kem pertama untuk menjelaskan bagaimana untuk meningkat lagi permainannya ke tahap baharu.

“Beliau adalah jurulatih England, jadi beliau sememangnya akan menjadi jurulatih yang bijak. Beliau sangat membantu dalam permainan saya,” kata Grealish pada Rabu.

“Pada awal musim, saya bertanya kepada beliau ‘apa yang boleh saya perbaiki’. Saya tidak akan mengulas lanjut tentang apa yang kami bual tetapi beliau memberikan beberapa perkara yang saya cuba lakukan untuk memburu tempat dalam skuad beliau. Saya fikir ia berhasil, kerana saya sudah bermain tujuh kali bersama England sejak dari itu.”

Grealish berdepan saingan sengit untuk satu tempat dalam kesebelasan utama menjelang perlawanan pembukaan England menentang Croatia dalam aksi Kumpulan D Ahad ini.

Marcus Rashford, Raheem Sterling, Phil Foden, Bukayo Saka dan Jadon Sancho juga bersaing untuk dua tempat di jentera serangan bersama-sama Harry Kane.

Tetapi Kane adalah pemain yang sentiasa menjadi sandaran utama Grealish sejak menyertai skuad kebangsaan.

Kane memenangi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Liga Perdana musim lepas dan juga mengumpan bola paling banyak dalam liga walaupun kelabnya, Tottenham menamatkan musim di tangga ketujuh.

“Ia menarik apabila anda menyertai skuad England dan mendapat pandangan berbeza dari pemain, mengetahui apa yang mereka lakukan dan apa yang tidak mereka lakukan,” tambah Grealish. — AFP

Advertisement