Anda di sini

Gagal patuhi SOP PKP, 69 tapak pembinaan diarah tutup

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUCHING: Sebanyak 69 tapak pembinaan yang beroperasi diarah ditutup berikutan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkata, pihaknya telah memeriksa 1,088 tapak pembinaan di sini dari 1 hingga 10 Jun 2021.

“Daripada 1,088 tapak pembinaan yang telah diperiksa, sebanyak 75 didapati mematuhi SOP, sementara 944 tidak beroperasi, manakala 69 lagi yang tidak patuh SOP telah diarahkan tutup,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Sehubungan itu, CIDB mengingatkan penggiat industri pembinaan untuk mematuhi SOP PKP terkini yang boleh dimuat turun dari www.cidb.gov.my.

Tegasnya, CIDB boleh menutup tapak pembinaan yang didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan. 

“Mana-mana kontraktor yang melanggar peruntukan Akta 520 atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain termasuk Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990), boleh dibawa ke prosiding tindakan tatatertib kontraktor. 

“Mereka seterusnya boleh dikenakan penggantungan dan/atau pembatalan Perakuan Pendaftaran Kontraktor dan/atau dikenakan penalti tidak melebihi RM500,000 dan/dikeluarkan mana-mana arahan yang wajar dari CIDB,” tegas kenyataan tersebut.
 

Advertisement