Anda di sini

MH17 ditembak jatuh misil BUK: Hakim Belanda

Advertisement
 Gambar dirakam pada 26 Mei lalu menunjukkan hakim dan peguam berdiri di sebelah serpihan pesawat MH17 yang dibina semula semasa memeriksa petunjuk mengenai nahas                 pesawat tersebut. — Gambar AFP
SIASAT: Gambar dirakam pada 26 Mei lalu menunjukkan hakim dan peguam berdiri di sebelah serpihan pesawat MH17 yang dibina semula semasa memeriksa petunjuk mengenai nahas pesawat tersebut. — Gambar AFP

THE HAGUE: Hakim Belanda kelmarin berkata siasatan mengenai nahas pesawat MH17 yang terbang melalui Ukraine yang dilanda peperangan pada 2014 menunjukkan misil BUK buatan Rusia pasti telah bertangunggjawab.

Para hakim dalam perbicaraan tiga warga Rusia dan seorang Ukraine atas tragedi yang membunuh seramai 298 orang dalam pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia itu mula membentangkan bukti secara formal minggu ini.

Serpihan pesawat yang dianalisa di lokasi kejadian “mengaitkan misil BUK” dan penyiasat menyatakan “tiada kesimpulan yang lain”, kata ketua hakim Hendrik Steenhuis.

Para hakim juga menunjukkan video bukti yang memaparkan asap putih meluncur ke udara dari sebuah padang berdekatan Pervomaiskyi di timur Ukraine ketika pesawat Boeing 777 itu terhempas.

Seorang saksi mendakwa telah melihat satu misil “terbang sekitar 20 saat sebelum meletup di sebelah kokpit sebuah pesawat,” kata para hakim.

Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari lapangan terbang Schiphol Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di kawasan Ukraine yang dikawal oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.

Siasatan antarabangsa sebelum ini telah membuat kesimpulan bahawa misil BUK yang berasal dari pangkalan tentera ke-53 Rusia yang bertempat di bandar Kursk adalah bertangunggjawab.

Peguam bela dan pegawai Rusia membantah dengan mengatakan terdapat kemungkinan lain termasuk pesawat itu telah ditembak oleh jet pejuang yang dioperasikan oleh Ukraine.

Kesemua empat suspek dituduh sebagai figura utama dalam kalangan pemberontak pemisah yang menentang Kiev.

Para hakim pada Isnin berkata mahkamah pada minggu ini akan meneliti bahan bukti dalam tiga persoalan utama: sama ada pesawat itu ditembak jatuh oleh BUK; lokasi asal pelepasan misil; dan peranan empat suspek dalam nahas tersebut. — AFP

Advertisement