Anda di sini

Llorente pemain kedua Sepanyol positif COVID-19

Advertisement
 Dejan (kiri) dan Mattias menghadiri sesi latihan di  Bastad, Sweden, persediaan pasukan untuk perlawanan EURO 2020 yang akan datang.  — Gamba AFP
POSITIF COVID-19: Dejan (kiri) dan Mattias menghadiri sesi latihan di Bastad, Sweden, persediaan pasukan untuk perlawanan EURO 2020 yang akan datang. — Gamba AFP

MADRID: Pemain pertahanan, Diego Llorente pada Selasa menjadi pemain kedua Sepanyol yang diuji positif COVID-19 selepas kapten pasukan, Sergio Busquets, menurut badan induk bola sepak Sepanyol (RFEF).

“RFEF dengan rasa dukacita mengumumkan bahawa pemain pertahanan tengah, Diego Llorente diuji positif dalam ujian terbaharu PCR (COVID-19) pada pagi ini di kem latihan pasukan di Las Rozas,” menurut satu kenyataan.

Llorente, yang bermain untuk kelab Leeds United dalam Liga Perdana Inggeris, meninggalkan skuad sama seperti Busquets, yang diuji positif pada Ahad.

Kejohanan tertangguh Euro 2020 akan bermula Jumaat ini.

Sepanyol akan memulakan kejohanan menentang Sweden di Seville dalam aksi Kumpulan E Isnin depan, walaupun keseluruhan skuad mereka diasingkan sejak kes positif Busquets.

Skuad Bawah 21 Tahun Sepanyol membelasah Lithuania 4-0 pada malam Selasa dalam apa yang sepatutnya perlawanan persediaan terakhir Sepanyol sebelum sepak mula Euro 2020.

Sweden juga mengumumkan dua pemainnya dijangkiti COVID-19 pada Selasa.

Pada Isnin dan Selasa, enam pemain simpanan dipanggil oleh jurulatih kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique, untuk berlatih sekiranya kes positif meningkat: Mereka adalah penjaga gol Kepa Arrizabalaga, Raul Albiol, Rodrigo Moreno, Pablo Fornals, Carlos Soler dan Brais Mendez.

RFEF berkata enam pemain itu diletakkan dalam “zon kawalan” dan akan terus menjalani latihan di kem latihan pasukan di Las Rozas, di pinggir Madrid.

Menteri Sukan Sepanyol, Jose Manuel Rodriguez Uribes berkata skuad Sepanyol akan divaksin pada Rabu.

Sepanyol juga dijadual menentang Poland dan Slovakia dalam Kumpulan E dengan perlawanan pusingan pertama mereka akan berlangsung di Stadium Cartuja di Seville. — AFP

Advertisement