Anda di sini

Dikompaun, curi-curi masuk kawasan PKPD

Advertisement
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KOTA SAMARAHAN: Seorang pemuda dikompaun kerana melakukan kesalahan memasuki kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tanjung Bundung di sini, pada Khamis (3 Jun).

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata dia yang berumur 22 tahun dari Kampung Baru, ditahan di sekatan jalan raya (SJR) berhampiran Dewan Suarah Kota Samarahan.

Jelas beliau, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas mendapati pemuda tersebut cuba menyelinap masuk ke kawasan PKPD dengan menunggang sebuah motosikal.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dia memasuki kawasan PKPD tanpa kebenaran dan gagal memberikan alasan munasabah iaitu ingin berjumpa dengan rakan. Sehubungan itu, kompaun dikeluarkan terhadapnya pada sekitar jam 4.34 petang,” ujar beliau menerusi satu kenyataan hari ini. 

Sudirman turut memaklumkan yang pemuda tersebut tidak membawa apa-apa barang yang menyalahi undang-undang. 

“Namun, dia telah dikompaun mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021,” katanya. 

Dalam pada itu Sudirman mengingatkan orang ramai yang duduk di kawasan diisytiharkan sebagai PKPD untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan dengan sentiasa berada di dalam rumah masing-masing. 

“Kebenaran akan diberikan kepada mereka untuk keluar daripada kompaun rumah sekiranya terdapat hal-hal kecemasan atau diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir menjalani ujian swab COVID-19 sahaja,” jelas beliau.

Tegasnya lagi, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kompaun ke atas mereka yang gagal mematuhi SOP. 

  • oleh
  • Advertisement