Anda di sini

Huang terus fokus bangunkan Sarikei, pendidikan anak muda

Advertisement
 Huang (kiri, atas) bermesyuarat menggunakan aplikasi Zoom bersama ahli-ahli jawatankuasa SUPP Cawangan Sarikei.
MESYUARAT DALAM TALIAN: Huang (kiri, atas) bermesyuarat menggunakan aplikasi Zoom bersama ahli-ahli jawatankuasa SUPP Cawangan Sarikei.

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii menegaskan misi perjuangannya sebagai wakil rakyat di kawasan itu sentiasa difokuskan terhadap pembangunan ekonomi, memantapkan sosial masyarakat, pendidikan untuk generasi muda dan menyatupadukan komuniti di bawah satu rumpun.

Beliau berkata, usaha ke arah matlamat tersebut terus dimantapkan dengan melaksanakan pelbagai pelan dan pendekatan yang memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Kita yakin matlamat ini boleh kita capai hingga tahap yang paling maksimum sekiranya semua pihak dapat bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan.

“Kini Sarikei telah berkembang maju daripada pelbagai aspek. Justeru, kita berharap momentum ini dapat kita kekalkan dan pertingkatkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat menggunakan aplikasi Zoom bersama ahli-ahli jawatankuasa SUPP Cawangan Sarikei, kelmarin.

Objektif utama mesyuarat tersebut ialah berbincang dan bertukar-tukar pendapat antara ahli jawatankuasa berkaitan isu semasa, masalah rakyat dan aktiviti pembangunan setempat.

Pada mesyuarat itu juga, Huang memuji semangat kerjasama semua ahli SUPP Cawangan Sarikei amat beliau hargai dan berterima kasih kepada rakyat di kawasan Repok yang sentiasa memberi sokongan padu kepada beliau selama ini.

Melalui kesempatan itu juga, Huang menyeru semua ahli jawatankuasa SUPP Cawangan Sarikei supaya bersikap rendah diri semasa mendengar masalah rakyat.

“Pihak kita perlu mengamalkan dasar dan sikap terbuka dalam semua perkara.

“Pada masa sama, kita ingin menyeru kepada semua rakyat agar terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar usaha untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat Sarawak mendapat kesinambungan yang berkekalan,” tegasnya.

Advertisement