Anda di sini

Suspek pukul guna kayu dan getah paip ditahan reman

Advertisement
 

KUCHING: Polis menahan reman suspek kes pukul seorang lelaki menggunakan sebatang kayu dan getah paip di hadapan sebuah pasar raya di Bintawa pada 9 Mei.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata permohonan reman empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah terhadap lelaki berusia 23 tahun itu diluluskan mahkamah hari ini.

Menurutnya, suspek  diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuching pada jam 11 malam Sabtu (15 Mei), di hadapan sebuah hotel di sini. 

Suspek mempunyai satu rekod kes dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, kata Merbin menerusi satu kenyataan.

Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak untuk mendapatkan arahan pendakwaan di mahkamah.

Dalam perkembangan berasingan, Merbin juga memaklumkan lima lelaki dan dua wanita tempatan dikompaun ekoran melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah premis snooker di Jalan Song, malam Ahad. 

Pengeluaran kompaun terhadap individu berusia dalam lingkungan 21 sehingga 31 tahun itu dibuat susulan pemeriksaan pasukan pemantauan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching.

“Manakala, pada tarikh yang sama jam 8.20 malam di City Square, Jalan Pending, pasukan pemantau dari Balai Polis Bintawa telah mengeluarkan kompaun terhadp empat lelaki dan seorang wanita tempatan lingkungan umur 15 hingga 17 tahun berikutan gagal memakai pelitup muka di tempat awam,” ujar beliau.

Menurutnya juga, kesemua individu terbabit telah dikompaun mengikut Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Pindaan 2021, (No. 21) 2021 kerana tidak mematuhi Arahan Ketua Pengarah.

  • oleh
  • Advertisement